KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam memperkukuh keimanan untuk menjadi ummah yang sejati bertepatan dengan tema Maal Hijrah kali ini iaitu ‘Membangun Ummah Madani’.
Sultan Mizan bertitah, umat Islam perlu berusaha membina sebuah masyarakat yang berteraskan nilai-nilai keimanan kukuh, pencarian ilmu berterusan, penghayatan akhlak mulia dan kehidupan yang sejahtera.
“Beta menyeru agar umat Islam mengambil semangat hijrah ini untuk memperbaiki diri, rohani dan jasmani, memperkukuh institusi keluarga dan masyarakat serta memperelok hubungan dengan Allah SWT.
“Sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh al-Bukhari yang bermaksud “Orang yang berhijrah itu ialah orang yang meninggalkan apa- apa yang dilarang oleh Allah,” titah baginda pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Titah baginda dibacakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin. Yang hadir sama Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Titah baginda, sambutan Maal Hijrah membawa makna yang amat besar, khususnya kepada golongan belia yang merupakan harapan negara serta pewaris masa depan ummah.
“la menjadi detik muhasabah yang mengajak belia untuk melakukan penghijrahan diri ke arah lebih positif dan berdaya saing dalam membina masyarakat cemerlang berlandaskan nilai-nilai Islam.
“Justeru, beta menyeru agar belia Muslim menjadikan semangat hijrah sebagai inspirasi untuk melakukan anjakan diri secara menyeluruh, daripada kelemahan kepada kekuatan, kejahilan kepada keilmuan, serta daripada kelesuan kepada kesungguhan dalam membina ummah yang cemerlang,” titah baginda.
Pada majlis itu, Tengku Muhammad Ismail berkenan menyampaikan Anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Terengganu kepada Pakar Perunding Nefrologi di Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Ghazali Ahmad, 67.
Pengalaman selama 40 tahun dalam bidang perubatan nefrologi melayakkan Dr. Ghazali menerima anugerah tersebut.
Dr. Ghazali bersara daripada perkhidmatan awam pada 2018 sebelum menyambung perkhidmatan sebagai Pakar Perunding Nefrologi dan Ketua Jabatan Pengurusan Penyakit Bersepadu di Institut Jantung Negara (IJN).
Beliau berkata, anugerah tersebut menjadi pemangkin kepadanya untuk terus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat.
“Saya rasa sumbangan saya tidak seberapa, bagaimanapun bersyukur di atas anugerah ini. Saya akan menjadikannya untuk berbakti dan memperkasa ummah kepada komuniti di sini dan global,” katanya..
Pada majlis itu, beliau menerima sijil penghargaan, trofi dan wang tunai RM20,000 yang disampaikan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Dr. Ghazali yang berasal dari Kampung Penunjuk Kijal, Kemaman berkata, menerusi pengalaman dan kepakarannya yang ada boleh dikongsikan kepakaran merawat semua pesakit tanpa mengira latar belakang. – UTUSAN










