'Al-Quran beri saya pergi lebih jauh lagi'

‘Al-Quran beri saya pergi lebih jauh lagi’

SHARIFAH Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman menunjukkan Anugerah Tokoh Maal Hijrah Negeri Perak diterimanya pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Ipoh semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tokoh Maal Hijrah Perak 1447H, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Mohd. Badiuzzaman, 43, berkata anugerah diterima sebagai kurniaan Allah hasil daripada penghayatan serta kecintaan terhadap al-Quran dan pengiktirafan supaya orang nampak betapa besarnya keagungan kalam Allah.

Katanya, dalam pelbagai anugerah diterima, inilah yang paling menyentuh nurani dan betul-betul dapat dirasai dari hati.

“Saya bukanlah orang yang hebat, tetapi pencinta al-Quran. Namun kerana al-Quran tidak ada yang mustahil bagi Allah, al-Quran memberi jalan kepada saya bukan sahaja untuk melahirkan generasi al-Quran tetapi untuk ‘pergi lebih jauh’ lagi,” katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah 1447H peringkat negeri di Casuarina@Meru, di sini semalam.

Beliau menerima wang tunai RM15,000, pakej umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil. Hadiah disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009 ini mendedikasikan anugerah itu kepada Allahyarham bapa, Syed Mohd. Badiuzzaman Syed Lope Al-Yahya yang merupakan tulang belakang dalam perjalanan dirinya mendalami Al-Quran.

“Kalau dia masih ada pasti dia yang paling (gembira). Saya masih ingat pesanan Allahyarham kalau kita jadi ahli al-Quran, insya-Allah kita akan dapat apa yang kita mahukan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima Anugerah Tokoh Ar Ridzuan bagi pihak ibunya, Allahyarham Datin Dr. Siti Zalikhah Md. Nor.

Katanya, pengiktirafan itu mewakili perjuangan sebagai seorang pendidik, pejuang undang-undang Islam dan pemberdayaan wanita.

“Ibu anak jati Perak berasal dari Pengkalan Hulu itu merupakan seorang pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bagi pihak keluarga, kami menerima anugerah ini dengan penuh rasa rendah diri kerana jasa ibu mewakili beberapa segmen penting dalam perjuangannya selama ini.

“Selain segmen pendidik, ibu juga merupakan pejuang dan pembela undang-undang Islam dan syariah di Malaysia kerana itu adalah kepakarannya malah sentiasa mengangkat tema pemberdayaan wanita dalam semua aspek khususnya dalam pendidikan, perjuangan hak-hak wanita Islam dan juga berkaitan kekeluargaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN