KUALA LUMPUR: “Perjuangan menegakkan Islam tidak boleh berhenti. Kita mesti terus membawa umat ke arah perpaduan, hikmah dan keikhlasan.”
Demikian kata bekas Mufti Johor, Datuk Dr. Nooh Gadut yang dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M atas jasa dan sumbangan besarnya dalam memperkasa syiar Islam serta memperkukuh perpaduan ummah di Malaysia.
Nooh berkata, semangat hijrah perlu diterjemah dalam konteks semasa sebagai satu bentuk perubahan ke arah lebih baik terutama dari aspek fizikal, pemikiran, tatakelola dan kehidupan beragama.
Beliau turut menyeru agar rakyat dan kepimpinan negara kembali memperkukuh hubungan antara umara, ulama dan rakyat, bagi menjamin kestabilan dan keharmonian negara yang berbilang kaum dan agama.
“Perjuangan Rasulullah SAW menunjukkan betapa pentingnya strategi, perpaduan dan kasih sayang dalam membina tamadun.
“Piagam Madinah adalah bukti bagaimana Islam mengutamakan keadilan untuk semua,” katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah tersebut.
Sepanjang kerjayanya, Nooh pernah berkhidmat sebagai Mufti Negeri Johor serta menjadi rujukan utama dalam hal-hal berkaitan syariah dan fatwa di pelbagai peringkat, termasuk MKI dan Majlis Raja-Raja.
Sementara itu, Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Muhammed Al-Rabiah, turut dianugerahkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah Antarabangsa atas sumbangannya dalam pembaharuan dan pemodenan pengurusan haji dunia Islam, termasuk kemudahan kepada jemaah Malaysia.
Majlis bertemakan ‘Membangun Ummah Madani’ itu mengangkat kepentingan nilai Islam dalam membentuk masyarakat sejahtera, bersatu dan berintegriti. – UTUSAN










