‘Perjawatan jururawat ada, namun tiada yang mahu’

‘Perjawatan jururawat ada, namun tiada yang mahu’

DR. Dzulkefly Ahmad melihat model projek Hospital Pasir Gudang yang beroperasi secara berperingkat mulai 1 Ogos ini. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Kesihatan (KKM) mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal dan sedang membuat pelantikan baharu untuk mengatasinya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, antara pendekatan diambil ialah meningkatkan jumlah pelatih ke paras 1,000 orang, namun ia masih belum dapat menampung kekurangan yang berlaku.

Beliau mengakui KKM me­ngalami kesukaran untuk mendapatkan jururawat disebabkan perjawatan ada, namun tiada yang mahu.

“Berikan KKM sedikit masa untuk kami tangani isu ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang (HPG), Bandar Seri Alam, di sini semalam.

Dr. Dzulkefly berkata, ca­baran utama yang dihadapi sektor kesihatan awam di Malaysia ketika ini adalah isu kekurangan jururawat.

Kata beliau, ia merupakan satu isu global yang turut dihadapi negara lain.

“Filipina yang selama ini merupakan negara pengeluar tenaga kerja jururawat juga sedang berdepan isu kekura­ngan jururawat dalam negara mereka. Bagaimanapun itu bukan alasan sebaliknya adalah realiti yang perlu kita tangani,” katanya.

Februari lalu, media me­laporkan seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM direkodkan telah meletak jawatan dan beralih ke sektor kesihatan swasta antara 2020 hingga 2024.

Antara faktor utama yang dikenalpasti termasuk tawaran gaji serta manfaat yang lebih baik dibandingkan dengan sektor kesihatan awam.

Bagaimanapun, Dr. Dzulkefly memberitahu, pihaknya telah bekerjasama dengan sektor swasta bagi mengatasi isu kekurangan jururawat kerana ia melibatkan kepemimpinan kesihatan awam.

“Selain itu, kita juga laksa­nakan tindakan bersifat interim, transit serta transisi melibatkan pengambilan jururawat luar, tetapi itu merupakan penyelesaian jangka pendek.

“Buat masa ini kita akan fokus untuk tingkatkan moral serta semangat petugas kesihatan sedia ada. Itu merupakan salah satu faktor penting selain daripada gaji dan manfaat,” katanya.

Mengenai HPG, beliau ber­kata, hospital dibina dengan kos RM500 juta itu bakal operasi secara berperingkat bermula 1 Ogos ini dan turut menyediakan bilik ‘on call suite’ untuk doktor terlibat.

“Apabila beroperasi kelak ia dijangka mengurangkan sehingga 10 peratus kepenggunaan katil pesakit di Hospital Sultanah Aminah (HSA), selain 30 peratus waktu menunggu bagi pesakit menjalani pembedahan elektif di hospital berkenaan.

“Hospital major kelapan di Johor ini turut dilengkapi 304 katil dan bakal menempatkan seramai 1,845 penjawatan, ketika ini sebanyak 274 penjawatan telah diisi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×