SHAH ALAM: Tokoh pemerkasaan wakaf, Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Datuk Ramli Tengku Shahruddin Shah diumum sebagai tokoh Maal Hijrah Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1447 peringkat negeri.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, peranan yang dimainkan oleh beliau berjaya mempertingkatkan kedudukan dan kekuatan MAIS di tengah-tengah lanskap masyarakat dan politik negeri yang mempunyai kepelbagaian dan mencabar.
“Tokoh ini juga adalah insan yang terlibat secara terus dalam memperjuangkan dan mengangkat nilai-nilai Islam melalui aktiviti pemerkasaan wakaf dan infaq.
“Beliau turut mempromosi nilai warisan Islam melalui program pendidikan di Galeri Diraja selain menyumbang tenaga dan kepakaran dalam inisiatif kebajikan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi zakat dan pendidikan,” katanya pada Program Ambang Hijrah dan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor, malam tadi.
Jelasnya, Tengku Ramli memainkan peranan sebagai Ahli Dewan Diraja Selangor dengan menjadi ahli lembaga pengarah Perbadanan Wakaf Selangor dan ahli jawatankuasa Tabung Infaq Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) sebagai wakil Sultan Selangor.
Mohd. Shahzihan menambah, Tengku Ramli sebagai Anggota MAIS selama 16 tahun memanfaatkan kedudukannya itu bagi memberi pandangan dalam penetapan dasar-dasar MAIS mengenai pentadbiran hal ehwal Islam.
“Beliau sebagai tokoh yang disegani mendedikasikan hidupnya kepada perkhidmatan terhadap rakyat, agama dan negeri ini.
“Kewibawaan dan pengalaman serta sosoknya sebagai individu yang berintegriti serta boleh dipertanggungjawabkan, meletakkannya berada dan terlibat dalam urusan pentadbiran hal ehwal Islam di Selangor dan dalam dunia korporat di peringkat nasional dan antarabangsa,”
Kata Mohd. Shahzihan lagi, sebelum diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Selangor, Tengku Ramli yang kini berusia 82 tahun pernah berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan I&P Group Sdn. Bhd. dari 1982 hingga 2008.
“Dengan segala bakti dan sumbangan yang diberikan, beliau telah dianugerahkan sebagai Tokoh Warisan dan Tokoh Khas Warisan Selangor atas sumbangan terhadap pemuliharaan dan memertabatkan khazanah budaya dan sejarah negeri pada 2003 dan 2015.
“Pada 2018 beliau turut menerima penghargaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa atas usaha diplomasi budaya Islam,” ujarnya.
Pada program tersebut, keberangkatan Sultan Selangor diwakili Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin dan turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari. – UTUSAN