Pahang pantau keselamatan 232 pelajar di Jordan - Utusan Malaysia

Pahang pantau keselamatan 232 pelajar di Jordan

WAN ROSDY Wan Ismail (tengah) bersama Pengerusi JPKK Negeri Pahang di Genting Highlands di Bentong, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kerajaan negeri memantau rapat situasi keselamatan semasa di Asia Barat, khususnya di Jordan berikutan ketegangan geopolitik yang masih belum reda, meskipun perkembangan terkini menunjukkan tanda positif ke arah genjatan senjata antara Iran dan Israel.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata kerajaan negeri memberikan perhatian serius terhadap keselamatan 232 anak Pahang yang sedang menuntut di beberapa universiti utama di Jordan.

“Setakat ini, kita bergantung kepada laporan rasmi daripada Kementerian Luar Negeri dan Wisma Putra tentang tahap keselamatan rakyat kita di sana. Pegawai kedutaan Malaysia di Amman juga sentiasa menyalurkan maklumat serta nasihat dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita pada majlis penyampaian watikah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Pahang Sesi 2024–2026 di Genting Highlands di sini.

Beliau diminta mengulas kebimbangan ibu bapa pelajar Pahang di luar negara susulan ketegangan serantau yang memberikan kesan langsung terhadap beberapa kawasan berhampiran Jordan seperti Lubnan dan Syria.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan termasuk pelaksanaan pelan kecemasan sekiranya berlaku perubahan drastik yang boleh mengancam keselamatan pelajar.

“Kalau keadaan mendesak, saya percaya Kementerian Luar tidak akan teragak-agak mengambil langkah segera termasuk membawa pulang rakyat kita, khususnya pelajar dari Pahang,” ujarnya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa sebarang tindakan akan diputuskan berdasarkan penilaian keselamatan semasa dan nasihat diplomatik secara profesional oleh wakil Malaysia di Jordan.

Wan Rosdy juga meminta agar ibu bapa dan ahli keluarga pelajar di tanah air tidak mudah terpengaruh dengan berita tular, khabar angin atau spekulasi tidak sahih yang berlegar di media sosial.

“Sebarang kenyataan rasmi hanya akan disalurkan melalui Wisma Putra atau agensi yang berkaitan. Jangan buat andaian sendiri yang boleh menimbulkan panik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN