KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini sebentar tadi melepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram dana syarikat pelaburan strategik, SRC International Sdn. Bhd. (SRC International) berjumlah RM27 juta.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan itu atas alasan kes tersebut telah berlanjutan begitu lama dan pihak pendakwaan tidak bersedia untuk memulakan perbicaraan dalam masa terdekat.
Pada prosiding terdahulu, pihak pendakwaan memohon tempoh panjang untuk mengesan dan mendapatkan 807 eksibit yang sebelum ini dikemukakan dalam perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Kes pengubahan wang haram RM27 juta itu sepatutnya mula dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zaini Mazlan (kini Hakim Mahkamah Rayuan) pada 5 Julai 2021, namun ditangguhkan selepas pihak pembelaan memaklumkan tarikh perbicaraan bertindih dengan bicara kes-kes jenayah dan sivil yang dihadapi Najib ketika itu. – UTUSAN
BERITA SELANJUTNYA MENYUSUL










