KLANG: Japan Coast Guard (JCG) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengadakan eksesais bersama bagi meningkatkan kawalan keselamatan di perairan khususnya Selat Melaka dalam menjaga kepentingan kedua-dua negara di laluan perdagangan itu.
Eksesais tersebut meliputi operasi mencari dan menyelamat (carilamat), penggunaan peralatan serta aset antara agensi penguat kuasa kedua-dua negara dan pengendalian pelbagai ancaman lain yang berlandaskan keperluan menangani jenayah rentas sempadan.
Pemangku Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Mohd. Zawawi Abdullah berkata, latihan itu akan dilaksanakan sempena lawatan rasmi Kapal JCG, MIZUHO di negara ini bermula esok hingga 27 Jun.
Menurutnya, eksesais itu juga dilakukan susulan hubungan erat antara JCG dengan agensi penguat kuasa negara ini sejak 2005.
“Fokus utama pada masa tersebut adalah memastikan keselamatan terutama di perairan Selat Melaka yang melibatkan kejadian rompakan di laut. Jadi, kerjasama dengan Kapal MIZUHO dan Maritim Malaysia adalah lebih kepada latihan melibatkan penguatkuasaan undang-undang.
“Kerjasama itu juga menunjukkan JCG mempunyai keyakinan kepada agensi penguat kuasa negara ini dalam menjaga keselamatan perairan di sini. JCG juga meyakini kemampuan Maritim Malaysia dalam melaksanakan tugas dalam zon maritim negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada selepas melawat Kapal Peronda Japan Coast Guard (JCG), MIZUHO, hari ini.
Terdahulu, beliau bersama Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki melawat Kapal MIZUHO dan diberi taklimat mengenai aset dan pengoperasiannya oleh Timbalan Komandan Operasi Japan Coast Guard, Laksamana Madya Kanosue Hiroaki.
Sementara itu, Kanosue memaklumkan selain mengeratkan hubungan agensi penguat kuasa antara Malaysia dan Jepun, siri eksesais itu memberi peluang perkongsian kepakaran masing-masing dalam menjaga perairan Selat Melaka.
Jelasnya, Jepun juga berdepan ancaman jenayah maritim seperti penangkapan ikan secara haram oleh negara luar serta penyeludupan dadah di perairan Pasifik dan Amerika Selatan.
“Selat Melaka juga penting sebagai laluan utama perdagangan antarabangsa dan memastikan keselamatannya tidak boleh dilakukan secara bersendirian termasuk oleh Jepun sendiri.
“Sebab itu kita perlu bekerjasama dengan agensi penguat kuasa negara lain. Kerana ia juga akhirnya memberi manfaat kepada Jepun. Sebab itu, kami perlu bekerjasama secara berterusan dengan agensi negara lain di seluruh dunia,” ujarnya.
Kanosue bagaimanapun menolak siri lawatan JCG menerusi Kapal MIZUHO ke negara-negara di Asia Tenggara mempunyai kaitan atau sebagai cubaan mengganggu konflik pertindihan yang berlaku di Laut China Selatan. – UTUSAN