Lelaki dalam pacuan empat roda maut ditembak

Lelaki dalam pacuan empat roda maut ditembak

Lelaki ditembak
PASUKAN Forensik menjalankan siasatan di sekitar lokasi kejadian itu dekat Taman Meru Utama, Meru, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Polis mengesahkan seorang lelaki maut dalam insiden tembakan di hadapan sebuah kedai motosikal di Taman Meru Utama, Meru di sini, hari ini.

Mangsa warga tempatan berusia 46 tahun itu ditembak dan mayatnya ditemukan dalam sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan berhubung aduan kes melepaskan tembakan, kira-kira pukul 3.37 petang.

Menurutnya, pemeriksaan polis menemukan mangsa dalam keadaan mengiring dengan berlumuran darah di tempat duduk pemandu.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu maut akibat ditembak di depan kedai tersebut. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya ketika dihubungi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati seluruh kawasan itu dikawal anggota polis dan ditutupi pita pelekat kuning.

Pasukan Unit Forensik kini masih menjalankan siasatan menyeluruh di lokasi berkenaan.

Menurut Vijaya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi proses bedah siasat.

“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek dan motif sebenar kejadian. Kes itu diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tampil untuk menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan M. Sathiyaseelan di talian 012 5197913 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN