SHANGHAI: Taman tema Legoland terbesar di dunia dan yang pertama di China bakal dibuka secara rasmi di Shanghai pada 5 Julai ini.
Ia menampilkan pelbagai tarikan termasuk replika mini kawasan ikonik Shanghai seperti tepi laut dan pencakar langit di daerah kewangan Lujiazui, yang semuanya dibina menggunakan batu bata plastik berwarna-warni.
Menerusi usaha sama antara Merlin Entertainments, pengendali taman Legoland global dan kerajaan tempatan daerah Jinshan, ia mengetengahkan lapan zon bertema termasuk dunia Ninjago, Lego Friends dan Monkie Kid yang pasti mengujakan peminat setia Lego.
“Saya sangka ia akan sangat besar, tapi saiznya cuma separuh daripada apa yang saya bayangkan tapi tarikannya memang di luar jangkaan,” kata Lyu Xiaole, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun yang datang bersama keluarganya dalam lawatan prapembukaan pada 20 Jun.
Pembukaan taman tema itu di tengah cabaran ekonomi China yang dilanda kelembapan perbelanjaan pengguna akibat kemelut sektor hartanah berpanjangan dan peningkatan kadar pengangguran belia.
Namun, Legoland Shanghai dijangka mendapat sambutan menerusi trend pelancongan domestik dan perbelanjaan berasaskan pengalaman yang kekal kukuh.
Antara tarikan utama ialah Miniland iaitu bangunan yang menempatkan replika pusat bandar Shanghai termasuk bangunan era kolonial di sepanjang Bund yang bersejarah dan menghadap pencakar langit moden.
Projek pembinaan kawasan mini ini mengambil masa lebih 168,000 jam dan menggunakan lebih 20 juta bongkah Lego.
Lego, pengeluar mainan dari Denmark sudah pun mempunyai lebih 400 kedai di China, menjadikan jenama itu cukup dikenali di negara tersebut.
Di Shanghai, Legoland bakal menjadi satu lagi destinasi riadah baharu buat mereka yang berkemampuan.
Harga tiket bermula dari 319 yuan (RM210) pada hari biasa dan boleh mencecah sehingga 599 yuan (RM395) pada musim cuti.- AGENSI










