PETALING JAYA: Siasatan awal Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam nahas yang mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Jalan Chikus – Sungai Lampam, Teluk Intan mendapati, lori terbabit membawa muatan berlebihan iaitu 70.67 peratus daripada had dibenarkan.
Berdasarkan Laporan Awal Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan yang dikeluarkan di laman sesawang MOT hari ini, muatan sebenar yang ditetapkan untuk lori tersebut hanyalah 24,000 kilogram namun ketika hari kejadian, ia didapati membawa muatan sebanyak 40,960 kilogram.
Dalam laporan setebal 146 muka surat itu, lori tersebut mempunyai permit kenderaan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang sah.
Pada masa sama, lori itu juga mempunyai sijil pemeriksaan PUSPAKOM yang sah sehingga 21 September depan.
“Permit Kenderaan APAD berdasarkan jenis badan Lori Rigid – Coal (LDC) yang hanya membenarkan muatan arang batu. Didapati (lori) membawa muatan batu kerikil, iaitu tidak selaras dengan syarat lesen.
“Membawa muatan berlebihan (BDM 40,960 kg), iaitu sebanyak 70.67 peratus daripada had yang dibenarkan (BDM 24,000 kg).
“Gagal dalam audit Laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA), dengan skor hanya 15 peratus (markah lulus 70 peratus), termasuk kegagalan dalam kesemua tujuh perkara mandatori” katanya.
Menurut laporan itu, siasatan awal terhadap syarikat logistik pengendali kenderaan lori Tipper (AKL4674) itu mendapati mereka tidak mempunyai penyelia keselamatan seperti yang ditetapkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP).
“Berdaftar dalam Sistem Pelesenan Kenderaan Perdagangan (iSPKP) pada 4 Mei 2021 dan mempunyai dua permit aktif,” katanya. – UTUSAN









