Laporan Nahas FRU: Trak tidak dilengkapi sistem kekangan 

Laporan Nahas FRU: Trak tidak dilengkapi sistem kekangan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bahagian belakang trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terbabit dalam nahas di Teluk Intan, Perak didapati tidak dilengkapi sistem kekangan seperti tali pinggang keledar (untuk mengurangkan  impak kemalangan kepada penumpang).

Laporan awal nahas yang dikeluarkan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini mendedahkan, ketiadaan elemen keselamatan pasif itu dipercayai meningkatkan risiko kecederaan serius secara signifikan terhadap penumpang ketika pelanggaran.

Katanya, berdasarkan siasatan, sebahagian besar penumpang dipercayai tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke sisi hadapan kiri kabin, ketika impak berlaku.

“Keadaan ini mengakibatkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin, menyumbang kepada tahap kecederaan mereka.

“Mekanisma kecederaan ini turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat di dalam kabin yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran.

“Gabungan ketiadaan sistem kekangan dan kewujudan objek tidak diikat ini dipercayai menjadi faktor penyumbang utama kepada kadar kecederaan parah dan kematian yang tinggi dalam insiden ini,” katanya.

Laporan sama turut mendedahkan, siasatan turut mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan trak FRU.

“Ia adalah risiko keselamatan ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan. Justeru, aspek ini disyorkan untuk diberi perhatian serius dan keutamaan bagi memastikan tahap keselamatan lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini,” katanya.

Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori bermuatan batu kerikil kira-kira jam 8.50 pagi.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×