SABAK BERNAM: Kerajaan Selangor bertegas tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membangkitkan isu menyentuh sensitiviti perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, Malaysia perlu menjadi contoh kepada dunia kerana mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
“Pendirian kita memang tidak boleh berkompromi kerana ia memang isu yang boleh mencetuskan perasaan tidak puas hati antara sesuatu kaum sedangkan kerajaan begitu mementingkan semangat perpaduan.
“Sudah pasti kita perlu menjadi contoh bukan sahaja di dalam negara kita, malahan di seluruh dunia, walaupun kita negara yang mempunyai kepelbagaian etnik tetapi kita mampu membina sebuah negara yang majmuk dengan perpaduan yang kukuh,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Program Santuni Madani, hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menerusi perspektifnya dalam Utusan Malaysia memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengesan hampir 12,000 kandungan menyentuh isu bangsa, agama dan institusi diraja (3R) antara 2023 hingga Mei lalu.
Ia merupakan sebahagian daripada lebih 40,000 kandungan berpotensi sebagai berita palsu yang disediakan oleh penyedia platform, bagaimanapun sebanyak 7,571 daripadanya sudah pun diturunkan.
Kata Rizam, Selangor sudah tentu mengambil berat isu-isu berkaitan perpaduan khususnya 3R kerana mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi selain kepelbagaian etnik yang menjadi paksi negara.
“Sebab itu kita banyak buat kerjasama program-program berhubung 3R dengan Kementerian Perpaduan Negara dan kita menggerakkan persatuan seperti Komuniti Rukun Tetangga (KRT) di kawasan-kawasan kampung untuk mewujudkan semangat cintakan negara dan perpaduan dalam kalangan kaum.
“Kalau setakat ini, ada aduan-aduan permasalahan masyarakat dan aduan kecil yang dapat kita tangani secara tertutup (tanpa perlu dibawa ke pihak berkuasa),” ujarnya. – UTUSAN