Kastam rampas hampir 100 haiwan terancam di Mumbai

Kastam rampas hampir 100 haiwan terancam di Mumbai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUMBAI: Pihak berkuasa kastam India berjaya menggagalkan cubaan penyeludupan hidupan liar terancam oleh seorang penumpang yang tiba dari Thailand.

Penumpang terbabit membawa hampir 100 ekor haiwan eksotik dan terancam, termasuk spesies seperti biawak, burung matahari, possum pemanjat pokok, labah-labah tarantula serta kura-kura.

Selain itu, turut dirampas adalah iguana, kinkajou atau beruang madu – haiwan kecil seperti rakun dari hutan hujan Mexico – serta enam ekor sugar glider, sejenis possum yang boleh meluncur berasal dari Australia.

Pegawai kastam berkata, penumpang itu kelihatan gelisah semasa tiba di ibu negara kewangan India, Mumbai.

Gambar yang dikeluarkan oleh unit kastam menunjukkan enam ekor sugar glider berhimpit di dalam sebuah bakul, serta kotak yang dipenuhi biawak.

“Dalam satu operasi penting, pegawai kastam menahan seorang warganegara India yang membawa kepada rampasan pelbagai spesies hidupan liar, hidup dan mati, sebahagiannya dilindungi di bawah undang-undang perlindungan hidupan liar,” kata Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan, semalam.

Pertubuhan pemantau perdagangan hidupan liar, Traffic, hari ini memberi amaran mengenai trend penyeludupan yang sangat membimbangkan, didorong oleh perdagangan haiwan peliharaan eksotik.

Lebih 7,000 haiwan, mati dan hidup, dirampas di sepanjang laluan udara Thailand-India dalam tempoh 3.5 tahun lepas, katanya.

Pegawai kastam di lapangan terbang Mumbai biasanya merampas emas, wang tunai atau ganja yang diseludup, namun kes rampasan hidupan liar menunjukkan peningkatan secara beransur-ansur sejak kebelakangan ini.

Pada awal Jun, pegawai kastam merampas puluhan ekor ular dan kura-kura daripada seorang warganegara India yang terbang dari Thailand.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×