SABAK BERNAM: Kampung Parit 6, 7, 8, 9 dan 10 dekat Sungai Panjang di sini terpilih dalam program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna, Datuk Rizam Ismail berkata, ia merupakan inisiatif yang diambil oleh kerajaan untuk mendekati masyarakat tanpa memerlukan mereka hadir ke pejabat atau kaunter untuk mendapatkan penyelesaian bagi sesuatu masalah.
“Sebelum ini masyarakat terpaksa pergi ke (pejabat) agensi kerajaan, tetapi kali ini mereka berbeza iaitu agensi kerajaan turun ke kampung-kampung mendekati masyarakat, dalam masa sama menyelami permasalahan yang ada dan membantu memberi pendedahan (dasar) agensi.
“Pada program selama tiga hari dua malam itu, pengisiannya cukup baik ia dianjurkan secara menyeluruh seperti kerohanian, kesedaran dan aktviti kemasyarakatan. Jadi saya rasa ia sebagai satu contoh yang perlu diteruskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung – Santuni MADANI dan Misi Jelajah Peduli Ummah, hari ini.
Menerusi program tersebut, JAWI dengan kerjasama Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain menyerahkan bantuan kepada penduduk seperti sumbangan wang tunai dan bakul makanan kepada penduduk asnaf, wakalah kepada Masjid As Syukriah dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Integrasi Desa Permai Parit 8 serta sumbangan bagi beg sekolah kepada pelajar-pelajar terpilih.
Sementara itu, Pengarah JAWI, Hanifuddin Roslan memaklumkan ia seperti program kampung angkat yang bagi membantu isu-isu yang boleh ditangani pihaknya sesuai dengan keupayaan jabatan.
“JAWI akan fokus kepada penyampaian perkhidmatan seperti aktiviti dakwah, kekeluargaan serta aktiviti untuk remaja, belia dan sebagainya. Itu program pertama bagi saya dan insya-Allah kita akan lakukan secara berterusan.
“Kita juga akan meneruskan program-program serupa dengan bantuan pelbagai NGO di luar kawasan Wilayah Persekutuan. Sebagai contoh, sebelum ini JAWI pernah laksanakan program ini di Tasik Banding, Gerik yang melibatkan kampung Orang Asli. Minggu depan kita akan laksanakan di Pahang,” ujarnya. – UTUSAN