ID50: UiTM rai pendidik, pemain industri seni bina dalaman

ID50: UiTM rai pendidik, pemain industri seni bina dalaman

ID50
PARA pensyarah, pemain industri dan mahasiswa bergambar bersama pada majlis pelancaran ID50 Fakulti Alam Bina, UiTM Puncak Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) melalui Pusat Pengajian Senibina Dalaman (CSIA), Fakulti Alam Bina mewujudkan ID50 bagi menggabungkan kepakaran rentas generasi yang turut memperkasa hubungan tenaga pengajar dan pemain industri.

Program itu bakal meningkatkan mutu pengajaran dan latihan melalui kurikulum yang responsif terhadap keperluan industri supaya lebih ramai graduan dalam bidang seni bina dalaman dilahirkan.

Ketua Pusat Pengajiannya, Dr. Tun Mohd Irfan Mohd Suria Affandi berkata, ID50 dilancarkan sebagai anjakan sinergi yang menggabungkan kepakaran rentas generasi, mengeratkan hubungan antara pemain industri dan tenaga pendidik dalam legasi pendidikan senibina dalaman di negara ini.

“Selama lima dekad, legasi alumni yang dilahirkan di pusat pengajian ini menerajui pelbagai firma reka bentuk terkemuka, memimpin organisasi dalam industri serta memenangi pelbagai anugerah berprestij selama tempoh berkenaan.

“ID50 membuka ruang untuk kita menghargai jasa dan sumbangan generasi terdahulu seperti para pensyarah, pelajar dan alumni yang membentuk asas kukuh dalam menggarap landskap industri senibina dalaman selama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sambutan ID50 akan berlangsung dari bulan ini hingga November selepas ia dilancarkan oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Fakulti Alam Bina, Prof. Dr. Yusfida Ayu Abdullah @ Mohd. Zain.

Menurut Tun Mohd. Irfan, pelbagai pengisian akan diadakan termasuk International Design Lab & Collaboration (IDL+C) Temu Kultura di Bali, Indonesia pada September 2025 yang merupakan program pertukaran budaya serta makmal reka bentuk bersama institusi pendidikan dan mentor reka bentuk antarabangsa.

“Dua acara lain yang dijalankan, Dialog Terbuka Alumni dan ID Design Talk, menampilkan panel penceramah daripada kalangan tokoh industri dan alumni, serta perkongsian daripada penaja strategik iaitu Topmix dan Wooot Carpenter.

“ID Design Talk juga menampilkan Martin Heager dari firma HL Design sebagai panel jemputan. IDFest pula akan berlangsung pada 18 Oktober 2025, di mana ia merupakan sebuah festival komuniti yang menyatukan pelajar, alumni dan masyarakat melalui pameran, aktiviti kesihatan, seni dan sukan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN