SHAH ALAM: Sebahagian kawasan dan jalan-jalan utama di sekitar daerah ini dan Klang didapati dinaiki air susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.
Berdasarkan tinjauan dan makluman awam dalam media sosial, antara kawasan-kawasan terjejas di Shah Alam seperti di Jalan Kebun Barat, Lorong Haji Yusof dan Plaza Tol Kota Kemuning di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) selain terdapat beberapa rumah sudahpun dilimpahi air.
Di Klang pula, limpahan air dilaporkan berlaku di jalan-jalan utama Bandar Puteri, Sentosa dan Bulan Simpang Lima. Kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di sepanjang jalan utama sehingga ke Johan Setia.
Sementara itu, semakan terhadap paras air sungai di sekitar Klang mendapati terdapat sebuah stesen mencatatkan bacaan paras amaran iaitu 2.18 meter (m) di sub lembangan Sungai Aur, Sungai Klang di Pandamaran.
Selain itu, dua stesen menunjukkan bacaan pada paras waspada iaitu 4.66m dan 3.30m masing-masing di Sungai Kandis, Kampung Jawa dan Sungai Rasau.
Semakan jadual air laut pasang surut di Pelabuhan Klang pula menunjukkan paras air sedang meningkat dan dijangka pasang sepenuhnya pada ketinggian 3.9 meter pada pukul 12.46 tengah hari. Waktu surut pula pukul 7.26 petang. – UTUSAN