PARIS: Negara-negara di selatan Eropah bersiap sedia menghadapi gelombang haba melampau hujung minggu ini, dengan suhu diramalkan mencecah sehingga lebih 40 darjah Celsius.
Keadaan ekstrem itu sekali gus mencetuskan amaran kesihatan dan kebimbangan terhadap risiko kebakaran hutan.
Gelombang haba yang melanda kawasan Mediterranean berlaku ketika saintis memberi amaran perubahan iklim akibat aktiviti manusia sehingga menyebabkan cuaca ekstrem, termasuk gelombang haba lebih lama.
Di Amerika Syarikat (AS), puluhan juta penduduk berdepan gelombang haba ‘berbahaya’, termasuk di New York dan Washington, yang memberi tekanan terhadap bekalan tenaga apabila penggunaan penghawa dingin melonjak.
Di Portugal, agensi meteorologi memaklumkan gelombang haba melanda mulai Sabtu, dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius di selatan dan utara negara itu.
Risiko kebakaran kini berada pada tahap tertinggi di kawasan pedalaman bahagian utara Portugal, serta di pantai Algarve yang menjadi tumpuan pelancong.
Perancis pula sedang mengalami gelombang haba nasional ke-50 sejak 1947, yang kini berlarutan lebih seminggu.
Empat wilayah di selatan Perancis diletakkan di bawah amaran jingga, dengan suhu dijangka mencecah antara 35 hingga 38 darjah Celsius di kawasan pedalaman.
Agensi cuaca Meteo France berkata, suhu permukaan laut Mediterranean turut menyumbang kepada keadaan cuaca lebih teruk, menyebabkan waktu malam terasa lebih panas.
Beberapa wilayah lain turut diletakkan di bawah amaran jingga mulai semalam, apabila gelombang haba merebak ke utara dan suhu tinggi dijangka berterusan sehingga Selasa.
Di Itali, Kementerian Kesihatan mengeluarkan amaran merah untuk 21 bandar, termasuk ibu negara Rom, pusat ekonomi Milan dan Venice, lokasi perkahwinan mewah jutawan Amazon, Jeff Bezos.
Di seberang Adriatik, pihak berkuasa Croatia, Bosnia dan Serbia mengeluarkan amaran kesihatan, manakala Albania bergelut mengawal sekurang-kurangnya lapan kebakaran dalam insiden hujung minggu lalu.- AFP











