GENEVA: Gaza kini berdepan krisis ‘kemarau buatan manusia’ apabila sistem bekalan airnya runtuh akibat serangan berterusan Israel, menurut Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Jumaat.
Jurucakap UNICEF, James Elder memberi amaran kanak-kanak Gaza berisiko mati akibat kehausan berikutan hanya 40 peratus daripada pengeluaran air minuman masih berfungsi.
“Tanpa bekalan bahan api, semua kemudahan ini akan berhenti beroperasi dalam tempoh beberapa minggu,” katanya kepada wartawan di Geneva.
Badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu turut melaporkan peningkatan 50 peratus kes kanak-kanak berumur antara enam bulan hingga lima tahun, yang mengalami kekurangan zat makanan akut antara April dan Mei.
“Oleh kerana ini adalah masalah buatan manusia, ia boleh dihentikan. Tiada satu pun daripada masalah ini bersifat logistik atau teknikal.
“Ia adalah isu politik. Jika ada kemahuan politik, krisis air ini boleh diselesaikan dalam sekelip mata,” kata UNICEF.
Israel kini mengendalikan sebahagian besar bantuan ke Gaza melalui entiti baharu, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), yang menggunakan firma keselamatan dan logistik swasta dari Amerika Syarikat (AS).
Israel mendakwa akan terus membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza dan memastikan bantuan tidak sampai kepada Hamas.
Hamas menafikan dakwaan merampas bantuan dan menuduh Israel menjadikan kebuluran sebagai senjata.
Ketua agensi PBB untuk pelarian Palestin, Philippe Lazzarini, menyifatkan sistem pengagihan bantuan di Gaza sebagai memalukan dan mencemarkan nilai kemanusiaan.- AGENSI










