SABAK BERNAM: Hab pendaratan hasil laut dekat Sekinchan, di sini bakal menjadi model ekosistem pembekalan makanan secara menyeluruh bagi sektor perikanan di Selangor yang merangkumi tiga fasa pembangunan pelabuhan bersepadu.
Dalam fasa pertama, projek Pelabuhan Pendaratan Bersepadu Sekinchan (SILP) itu akan di bina di atas laut pada keluasan kira-kira 34 hektar yang melibatkan pelaburan sehingga RM500 juta dijadual memulakan pembinaan fizikal menjelang akhir tahun 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia merupakan sebahagian daripada Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA), di bawah Rancangan Selangor Pertama (RS1), yang mencerminkan anjakan strategik negeri untuk memperkukuh kehadiran Selangor dalam rangkaian udara, darat dan laut melalui pembangunan yang seimbang dan saling berhubung.
Menurutnya, pada peringkat awal, pelabuhan berkenaan akan membolehkan 30 hingga 40 bot-bot nelayan sedia ada mendaratkan hasil laut dengan kemudahan jeti yang lebih baik termasuk infrastruktur penyelenggaraan dan sebagainya.
“Sudah pasti pertanian secara keseluruhannya termasuk perikanan, setakat ini sumbangan kepada ekonomi negeri cuma satu peratus. Jadi, dengan ada ekosistem termasuk kolam-kolam udang dan kawasan-kawasan itu akan dikembangkan serta bergerak lebih baik dan moden.
“Ia akan menjadi lebih maju diikuti dengan kawasan pendaratan ikan serta pertanian yang dibangunkan bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan sebagainya. Ia boleh meningkat sehingga lima peratus dalam RS1 dan RS2,” katanya ketika ditemui pemberita, pada Majlis Pelancaran Pembangunan Pertama Kompleks Pendaratan Hasil Laut Sekinchan, hari ini.
Pembangunan SILP merangkumi jeti berpusat yang lengkap, dewan lelongan, dok suai arus, zon pembinaan dan penyelenggaraan marin, hab logistik sokongan serta penambahbaikan pantai awam.
Kata Amirudin, kompleks berkenaan juga disasar meningkatkan keterjaminan makanan melalui penyimpanan bekalan sumber protein itu sehingga dua tahun bagi memastikan ia kekal berada dalam pasaran.
“Gudang makanan Selangor, ikan (hasil laut) kita akan pastikan simpanannya kekal ada dan dalam tempoh tertentu ia akan dipasarkan semula. Tetapi, kita juga melihat kesesuaiannya, sebab ikan ada proses tertentu (seperti) pengawetannya bagi memastikan ia selamat dan bertahan dua atau tiga tahun. Ia juga boleh dikembangkan.
“Saya juga mengarahkan supaya model sama digunakan di Sabak Bernam dan tempat-tempat lain termasuk Tanjong Karang. Ini usaha kita dan kalau dapat direalisasikan ia akan menjadi pemecah formula pendaratan ikan yang ketika ini terhad dengan cara tradisional, tetapi dibangunkan dengan penyusunan lebih rapi,” jelasnya. – UTUSAN