KLANG: Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menolak cadangan pembinaan bangunan memorial empat tingkat bagi tempat mengurus dan menyimpan abu mayat yang didakwa berhampiran dengan sebuah masjid di Kampung Raja Uda, di sini.
Datuk Bandarnya, Datuk Abd. Hamid Hussain berkata, perkara itu diputuskan pihaknya menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Setempat (OSC) yang dijalankan pada Khamis dan menolak kebenaran merancangnya selepas mengambil kira faktor isu teknikal serta bantahan penduduk kawasan terlibat.
“Namun, pihak pemohon boleh memfailkan rayuan kepada Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor dalam tempoh 30 hari.
“Jika mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan Lembaga Rayuan itu, mereka boleh memfailkan perkara itu ke mahkamah,” katanya ketika ditemui pada program Clean & Green Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa, hari ini.
Tambah Abd. Hamid, MBDK melaksanakan prosedur dan proses sewajarnya dalam mempertimbangkan permohonan itu.
Utusan Malaysia pada 11 Jun lalu melaporkan penduduk Kampung Raja Uda menggesa MBDK membantah keras cadangan pembinaan itu yang dikhuatiri memberi beberapa implikasi negatif kepada mereka.
Projek itu akan menimbulkan masalah kesesakan trafik kerana tapak memorial dibina di tepi Persiaran Raja Muda Musa yang menjadi laluan utama menuju ke bandar Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
Selain itu, mereka bimbang kediaman akan mengalami keretakan dinding yang serius akibat kerja memasang cerucuk sebagai tiang bangunan memorial.
Imam Masjid Kampung Raja Uda, Mohd. Bazaireen Baharuddin sebelum ini memaklumkan, beliau kesal dengan pembinaan memorial yang tidak sampai 50 meter dari Masjid Kampung Raja Uda.
“Kami khuatir selepas ini akan diadakan banyak acara keagamaan di bangunan itu sebaik sahaja ia siap. Itu akan menyebabkan penduduk Islam di sini berasa tidak selesa. Jadi kami harap, ahli Parlimen, ADUN dan Datuk Bandar dengar keluhan kami,” tegasnya.
Dalam perkara berasingan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Dr. Gunaraj George berkata, MBDK meluluskan peruntukan berjumlah RM68 juta bagi menyelesaikan isu banjir di DUN itu bulan lalu.
“Masalah pembuangan sampah antara punca menyebabkan masalah itu berlaku selain keadaan longkang yang perlu dinaik taraf.
“Kita juga telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) terutama berkaitan longkang yang saliran tidak berfungsi dengan baik,” ujarnya. – UTUSAN