Askar Israel diarah tembak rakyat Gaza tunggu bantuan

Askar Israel diarah tembak rakyat Gaza tunggu bantuan

RAKYAT Palestin membawa bungkusan bantuan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) di jalan Salah al-Din berhampiran kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza, Rabu lepas.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel didakwa menerima arahan untuk menembak rakyat Palestin tidak bersenjata yang sedang menunggu bantuan makanan di Gaza.

Laporan akhbar Israel, Haaretz, mendedahkan tentera diberi arahan untuk melepaskan tembakan terhadap orang awam walaupun mereka tidak membawa senjata atau menunjukkan ancaman.

Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, sekurang-kurangnya 549 rakyat Palestin terbunuh dan 4,066 lagi cedera ketika menunggu bantuan makanan yang dikendalikan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF).

Haaretz yang memetik beberapa askar Israel tanpa mendedahkan nama melaporkan, arahan kepada pasukan jelas mengarahkan penggunaan kekerasan secara melampau ke atas orang awam kelaparan.

Seorang lagi tentera mendakwa, satu hingga lima orang awam dibunuh setiap hari di kawasan penempatannya di Gaza.

“Kami menembak senapang mesin dari kereta kebal dan melemparkan bom tangan.

“Terdapat satu insiden di mana sekumpulan orang awam dilanggar semasa mara di bawah selubung kabus,” kata seorang askar kepada Haaretz.

Bagaimanapun, tentera Israel dalam kenyataan rasmi menafikan dakwaan itu, selain menyifatkan laporan tersebut tidak menggambarkan realiti operasi di lapangan.

“Segala dakwaan pelanggaran undang-undang atau arahan akan disiasat dengan teliti dan tindakan sewajarnya akan diambil,” kata kenyataan tentera di Telegram.

Haaretz melaporkan, peguam tentera Israel mengarahkan satu mekanisme penilaian fakta di bawah Staf Am untuk menyiasat kemungkinan pelanggaran undang-undang peperangan di tapak agihan bantuan GHF.

GHF yang mengendalikan empat pusat bantuan di Gaza, dikritik hebat sejak memulakan agihan makanan pada akhir Mei, selepas sekatan tentera Israel dilonggarkan, manakala serangan terhadap orang awam yang menunggu bantuak terus meningkat.

Beberapa organisasi bantuan, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Doktor Tanpa Sempadan (MSF), turut mengkritik GHF kerana didakwa memperalatkan bantuan sebagai senjata perang.- AL JAZEERA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×