WASHINGTON: Presiden Donald Trump mengumumkan penamatan rundingan perdagangan dengan Kanada, sebagai tindak balas terhadap cukai yang memberi kesan kepada syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS).
Trump merujuk kepada cukai perkhidmatan digital Kanada, yang diluluskan tahun lalu dan dijangka menjana hasil sebanyak AS$4.2 bilion (RM17.7 bilion) dalam tempoh lima tahun.
Walaupun langkah itu bukan baharu, Persatuan Industri Komputer dan Komunikasi berkata, penyedia perkhidmatan AS akan menanggung pembayaran bernilai berbilion dolar di Kanada menjelang 30 Jun ini.
Cukai sebanyak tiga peratus itu dikenakan ke atas syarikat besar atau multinasional seperti Alphabet, Amazon dan Meta yang menyediakan perkhidmatan digital kepada rakyat Kanada.
“Kami baru sahaja dimaklumkan bahawa Kanada, sebuah negara yang sangat sukar untuk berdagang, termasuk fakta mereka mengenakan tarif sehingga 400 peratus ke atas hasil tenusu selama bertahun, kini mengumumkan akan mengenakan Cukai Perkhidmatan Digital ke atas syarikat teknologi Amerika, tindakan yang terang-terangan menyerang negara kita.
“Berdasarkan cukai yang melampau ini, kami dengan ini menamatkan semua rundingan perdagangan dengan Kanada, berkuat kuasa serta-merta,” kata Trump dalam hantaran di platform Truth Social, kelmarin.
Pengumuman itu dibuat hanya beberapa jam selepas AS mengumumkan kejayaan dalam rundingan bersama China mengenai penghantaran nadir bumi ke Amerika.
Ini termasuk pengumuman daripada pegawai kanan AS bahawa Washington akan meneruskan rundingan perdagangan melebihi tarikh akhir 9 Julai yang ditetapkan Trump.
Kanada, salah satu rakan dagang terbesar AS, mungkin terselamat daripada beberapa tarif besar-besaran yang dikenakan Trump, namun tetap berdepan tarif berasingan daripada Washington.
Sebelum ini, Trump turut mengenakan cukai tinggi ke atas import keluli, aluminium dan kenderaan.
Minggu lalu, Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berkata, Ottawa akan melaras semula tarif balas 25 peratus ke atas keluli dan aluminium AS, jika tiada perjanjian perdagangan dicapai dalam tempoh 30 hari, susulan tindakan Washington menggadakan cukai logam itu kepada 50 peratus.- AFP










