SHAH ALAM: Syarikat pembuatan alat ganti pesawat, Aircraft Propeller Service (APS) Asia Pasifik melabur lebih RM4 juta bagi membuka pusat penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) kipas pesawat yang pertama di Asia, di sini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) APS, Daniel Colbert berkata, pihaknya memilih Malaysia sebagai destinasi membuka pusat tersebut berdasarkan kemudahan infrastruktur yang terdapat di negara ini.
“Negara ini mempunyai sumber mencukupi untuk kami melakukan kerja penyelenggaraan kipas pesawat.
Selain itu, Malaysia juga mesra pelabur dan memudahkan urusan kami untuk membuka pusat tersebut,” katanya kepada pemberita pada majlis perasmian pembukaan pusat penyelenggaraan APS Asia Pasifik yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, hari ini.
Beliau menambah, pusat berkeluasan 30,096 kaki persegi (0.691 ekar) itu dijangka beroperasi beberapa minggu lagi dengan kemampuan kapasiti kerja-kerja MRO sehingga 1,000 buah kipas setahun.
“Antara klien kami adalah Airbus, ATR dan Embraer. Bagi APS, pembinaan pusat itu di Selangor adalah satu langkah strategik, iaitu menarik lebih banyak syarikat menghantar kipas pesawat mereka ke syarikat ini.
“Ketika ini, APS mempunyai 30 tenaga pekerja yang kesemuanya rakyat Malaysia. Kami bersedia melatih lebih ramai rakyat untuk mahir dalam bidang pembaikan kipas pesawat,” ujarnya.
Sementara itu, Amirudin memberitahu, pembukaan pusat MRO itu merancakkan lagi industri aerongkasa di Selangor, yang menjadi salah satu industri utama dalam negeri itu.
Jelasnya, kerajaan negeri sedang berunding dengan beberapa syarikat aeroangkasa luar negara, yang menunjukkan minat untuk membuka pusat operasi mereka di Selangor.
“Ada beberapa syarikat yang membuat serta membaiki komponen pesawat sudah pun beroperasi di Selangor.
“Permintaan terhadap pesawat di peringkat global sejak lima tahun kebelakangan ini menunjukkan tren peningkatan. Justeru, kita perlu ambil peluang bagi menarik lebih banyak syarikat aeroangkasa untuk melabur di negara ini, terutama di Selangor,” jelasnya. – UTUSAN