SHAH ALAM: Kesatuan Kakitangan Ladang-Ladang Seluruh Tanah Melayu (Amesu) mencatat sejarah tersendiri apabila memeterai enam Perjanjian Kolektif (CA) secara serentak hari ini.
Kesemua CA itu meliputi majikan dalam sektor perladangan termasuk Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa), IOI Group of Companies, Dara Lam Soon Sdn. Bhd, Arah Kawasan Sdn. Bhd, HK Gua Musang Sdn. Bhd. dan YPJ Plantations Sdn. Bhd.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, Amesu antara kesatuan tertua yang mewakili lebih 5,000 pekerja dan ditubuhkan sejak 1927 sementara MAPA pula merupakan wakil kepada 120 syarikat perladangan utama di seluruh negara.
“Majlis ini dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah perjuangan pekerja kerana buat pertama kalinya enam CA berjaya dimeterai serentak.
“Perjanjian itu juga bakal meningkatkan manfaat lain dalam meningkatkan produktiviti dan menambah baik kesejahteraan warga kerja dalam sektor perladangan,” katanya ketika ditemui selepas menyaksikan majlis menandatangani CA itu di sini, hari ini.
Menurut Steven, semua ahli Amesu kini bakal menikmati kenaikan gaji baharu sehingga 12 peratus.
“Kenaikan itu bermula 1 Januari lalu dan para pekerja akan menerima tunggakan kenaikan antara RM3,000 hingga RM10,000. Ia bergantung kepada gred jawatan, tempoh perkhidmatan dan kadar elaun masing-masing,” ujarnya.
Tambah beliau, pekerja yang dilindungi mengikut CA antara Mapa, Amesu dan lima syarikat perladangan lain itu tidak tertakluk lagi kepada kadar gaji minimum RM1,700 sebulan.
“Ini kerana struktur gaji yang dipersetujui dalam perjanjian itu adalah lebih tinggi iaitu dengan gaji permulaan RM1,800 sebulan,” jelasnya. – UTUSAN