SHAH ALAM: Polis masih mempergiatkan usaha memburu suspek kes seorang saksi utama pendakwaan perbicaraan kes rasuah Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang diserang lelaki bersenjata di Petaling Jaya, bulan lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes itu masih diteruskan pihaknya sehingga kini dan merakam keterangan lebih 10 individu bagi menentukan tujuan atau modus operandi kejadian tersebut.
“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dibantu Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor masih meneruskan operasi mencari suspek,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.
Pada 11 Ogos lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis mengesahkan kes pecah rumah saksi utama kes rasuah bekas Menteri Kewangan pada 6 Ogos tiada kaitan dengan kes perbicaraan mahkamah yang sedang berlangsung.
Ketika itu, Shazeli berkata, siasatan awal mendapati, kes itu hanya berunsur jenayah dan siasatan awal pihaknya tidak dapat dikaitkan dengan kes perbicaraan yang sedang berlangsung.
Katanya, seramai 16 saksi dirakam keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berdepan beberapa pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.
Beliau didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri ketika itu untuk meminta suapan bagi membantu Pengarah Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek berkenaan.
Guan Eng didakwa meminta 10 peratus daripada keuntungan yang bakal diperoleh syarikat itu daripada Zarul.
Beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta untuk dirinya serta menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri dilupuskan kepada dua syarikat yang ada kaitan dengan projek tersebut. – UTUSAN










