SHAH ALAM: Visa pelancong seorang warga Britain, David Balisong, 17, yang bercuti di negara ini sebelum dilaporkan hilang sejak Jun lalu akan tamat esok.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, perkara itu diketahui hasil siasatan lanjut berkaitan remaja berkenaan yang memasuki Malaysia pada 7 Jun lalu.
Menurutnya, rekod visa ketibaan menunjukkan ada tempoh selama tiga bulan sebelum ia tamat.
“Dia (Balisong) datang ke sini untuk bercuti. Kita menjangkakan 4 September (esok) tarikh tamat visa. Kalau tiada apa-apa, dia akan meninggalkan negara ini dan kita dapat kesan,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Tegas Shazeli, pihaknya bagaimanapun masih mengesan remaja itu sepanjang berada di Malaysia.
“Ia berpandukan kepada maklumat yang diberikan ibunya dan pelbagai pihak. Kita sentiasa membuat susulan. Sehingga kini, kita belum menjumpai keberadaannya,” ujarnya.
Pada 17 Julai lalu, Utusan Malaysia melapporkan tiada sebarang pergerakan keluar Balisong dari negara ini sejak dilaporkan hilang sejak 7 Jun lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, semakan lanjut pihaknya, tiada rekod keluar membabitkan remaja berusia 17 tahun melainkan kemasukannya ke negara ini.
Remaja lelaki itu dipercayai masih berada di negara ini apabila tiada rekod di mana-mana pintu masuk menunjukkan dia keluar meninggalkan Malaysia.
Pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.
Balisong dikatakan menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur bersendirian dan dia mematikan telefon serta tidak membalas e-mel.
Remaja itu sempat membuat pesanan melalui e-mel pada perhubungan terakhir dengan ibunya pada 9 Julai lalu.
Kandungan e-mel itu antaranya luahan Balisong supaya tidak bimbang dan cuba mencarinya selain mendoakan kesemua ahli keluarga supaya berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara berkenaan. – UTUSAN










