MUMBAI: Pelajar perubatan di bandar Ahmedabad di barat India sedang menikmati makan tengah hari apabila sebuah pesawat penumpang Air India terhempas ke dalam dewan makan mereka, semalam.
Seorang doktor pelatih, Mohit Chavda berkata, mereka hanya terdengar letupan ketika sedang menikmati hidangan dal, kobis dan roti ketika nahas berlaku.
“Kemudian kami hanya nampak debu dan asap masuk ke dalam dengan kuat,” katanya.
Dalam insiden penerbangan paling buruk di India dalam tempoh beberapa dekad, ekor pesawat Boeing 787 Dreamliner yang tercabut kelihatan terjulur keluar dari sebuah bangunan, sementara pasukan bomba bertungkus-lumus memadamkan api.
Di dalam dewan makan, pinggan makan tengah hari masih bersisa, ditinggalkan dalam keadaan kelam kabut ketika pelajar melarikan diri.
Polis mengesahkan 269 orang terkorban, namun memberi amaran angka sebenar mungkin mengambil masa untuk dipastikan.
Banyak mayat yang rentung sedang dikenal pasti melalui ujian DNA.
241 penumpang dan anak kapal disahkan maut, manakala sekurang-kurangnya 36 lagi terbunuh di darat.
Antara mangsa yang terkorban termasuk sekurang-kurangnya empat pelajar perubatan, menurut Dekan Kolej Perubatan B.J., Dr Minakshi Parikh.
Kampus kolej itu terletak berhampiran hujung landasan lapangan terbang.
“Kebanyakan pelajar berjaya menyelamatkan diri, tetapi 10 atau 12 orang terperangkap dalam kebakaran,” kata Dr Parikh.
Chavda berkata, lokasi bangunan yang begitu hampir dengan lapangan terbang menyebabkan penduduk sudah lali dengan bunyi bising, terutama daripada enjin pesawat.
Pada mulanya mereka menyangka ia hanyalah pesawat yang terbang terlalu rendah, sebelum suasana kemudian menjadi gelap.
“Kami tak tahu apa nak buat, seolah-olah otak kami berhenti berfungsi. Kami hanya bangun dan terus lari. Kami tak nampak apa-apa, tapi secara automatik terus menuju ke arah pintu keluar.
“Kami hanya sedar berlaku nahas kapal terbang apabila sampai di bawah dan nampak ekor pesawat itu,” katanya.










