KLANG: Kira-kira 80 peratus kes kehilangan nyawa akibat kemalangan di laut berpunca tiada pemakaian jaket keselamatan terutama ketika berdepan situasi kecemasan.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mendapati kegagalan menggunakan peralatan keselamatan diri itu rata-ratanya melibatkan nelayan selain bot penumpang sepanjang tahun lalu.
Pengarah Bahagian Operasi Udaranya, Laksamana Pertama Mohd. Tahir Khalid berkata, statistik pihaknya merekodkan 226 kes insiden di laut meliputi 1,348 mangsa termasuk 64 maut manakala 25 masih hilang tahun lalu.
Malah,menurutnya, tempoh lima bulan tahun kebelakangan ini mencatatkan 108 kes melibatkan 251 mangsa termasuk 36 maut dan 12 masih hilang.
“Jumlah itu dianggap membimbangkan dan jika trend berkenaan berterusan, kes kematian mungkin meningkat sebanyak dua kali ganda. Hampir 80 peratus kes itu berpunca tiada peralatan keselamatan diri terutama pemakaian jaket keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut,” katanya pada program sambutan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM), hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan tindakan cuai tidak memakai jaket keselamatan dipercayai punca utama kejadian bot karam mengorbankan lima di perairan berhampiran Jeti Kelab Kapal Layar Klang, 6 Jun lalu.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang itu berlaku ketika enam individu menaiki bot bagi ujian pandu uji selepas kerja pembaikan dilakukan namun dipercayai tiada seorang mangsa memakai jaket berkenaan.
Menurut Mohd. Tahir, tidak selesa antara alasan utama kegagalan memakai peralatan kecemasan diri ketika berada di laut.
“Sekiranya jaket dipakai ketika sesebuah bot terbalik atau karam, mereka yang terapung lebih selamat sementara menunggu pasukan penyelamat. Namun, kebanyakan mereka terutama nelayan tidak memakainya dengan alasan tidak selesa dan sudah biasa turun ke laut,” ujarnya.
Tambah beliau, semua pihak perlu sentiasa mematuhi peraturan itu yang diwajibkan bagi pengendali bot termasuk nelayan.
Dalam pada itu, kata Mohd. Tahir, objektif HKKM bertemakan ‘Berapung Untuk Hidup’ bertujuan memberi pendedahan kepada pekerja dan majikan mengenai langkah keselamatan ketika menghadapi kecemasan di laut serta kepentingan mematuhi peraturan maritim.
“Program ini turut menyasarkan pengurangan risiko kemalangan laut menerusi latihan keselamatan dan penyampaian pengetahuan khusus kepada nelayan.
“Selain itu, ia mampu meningkatkan kefahaman komuniti terhadap kepentingan aspek keselamatan ketika berada di laut dan mewujudkan budaya keselamatan maritim lebih mantap,” katanya. – UTUSAN