Waris cipta lagu Melaka Maju Jaya tuntut penghargaan, hak cipta

Waris pencipta lagu Melaka Maju Jaya tuntut penghargaan, hak cipta

QUS NAFIAH Saiful Bahri (tengah) bersama kakaknya, Soufinaranti dan adiknya, Saiful Bahari Ahmad menunjukkan surat yang dihantar arwah ibunya kepada Kerajaan Negeri Melaka dan foto kanan Allahyarham Saiful Bahri Alias. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Waris pencipta lagu Melaka, Melaka Maju Jaya kesal tuntutan penghargaan dan hak cipta lagu komposer Allahyarham Saiful Bahri Alias tidak diendahkan oleh kerajaan negeri sejak 32 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, anak Allahyarham, Qus Nafiah Saiful Bahri, 53, berkata, surat pertama yang dihantar arwah ibunya, Noraini Ahmad pada 9 Julai 1993 kepada Setiausaha Kerajaan Negeri berhubung perkara tersebut tidak mendapat sebarang jawapan.

Menurutnya, tindakan susulan dibuat menerusi pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam pada 22 September 2022 seakan menjanjikan sesuatu apabila perkara tersebut dipanjangkan pada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

“Bagaimanapun kerajaan negeri menerusi surat bertarikh 7 April 2023 telah menolak tuntutan yang kami adik beradik kemukakan dan yang menjadi tanda tanya tiada alasan yang diberikan.

“Tuntutan ini sudah menjangkau 32 tahun setidak-tidaknya pihak kerajaan negeri memanggil kami untuk berbincang dan mungkin menerusi rundingan masalah ini boleh diselesaikan dengan mudah.

“Kami tuntut hak arwah ayah yang telah mencipta lagu tersebut sejak 1957. Tiada sebarang penghargaan diberikan oleh kerajaan negeri hasil titik peluh arwah,” ujarnya ketika ditemui di Ayer Keroh, di sini baru-baru ini.

Qus Nafiah berkata, Allahyarham bapanya yang turut mencipta lagu Duli Yang Maha Mulia (Selangor) dan hasil usaha mereka kerajaan negeri Selangor telah menganugerahkan sebuah rumah pada 2022.

Bagaimanapun, mengenai tuntutan hak cipta lagu dia berkata, Kerajaan Negeri Selangor masih belum memberi sebarang kata putus.

“Usaha yang kami lakukan sejak berpuluh tahun ini bukan semata-mata kerana menuntut royalti atau pangkat tetapi keadilan dan pengiktirafan ke atas legasi ditinggalkan arwah bapa yang juga pencipta lagu kebangsaan iaitu Negaraku,” ujarnya.

Sehubungan itu, dia meminta Kerajaan Negeri Melaka untuk mengadakan perbincangan dengan ahli keluarganya bagi menyelesaikan isu tersebut daripada terus berlarutan.

Saiful Bahri dilahirkan di Payakumbuh, Sumatera Barat, meninggal dunia di Tokyo, Jepun pada 26 Disember 1976 ketika sedang bertugas untuk Filem Negara Malaysia (kini di bawah FINAS).

Selain lagu Negaraku serta Duli Yang Maha Mulia (Selangor) dan Melaka Maju Jaya (Melaka), Allahyarham turut mencipta lagu Samudera, Barisan Kita, Angkatan Laut dan Berjaya.

Pada tahun 1963, semasa konfrontasi Indonesia-Malaysia, Allahyarham berhijrah ke Malaysia dan bekerja untuk Orkestra Radio Malaya (kini Orkestra RTM) dan Filem Negara Malaysia dan sering menggunakan nama samaran Surya Buana. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN