MEKAH: Bertugas di bawah panas mentari sehingga adakalanya mencecah 45 darjah Celsius menjadi asam garam buat Unit Peronda Tabung Haji (TH) dalam membantu jemaah haji di sekitar Masjidil Haram, di sini.
Malah, kehadiran mereka dikenali pasukan ‘Lipan Bara’, yang mudah dikenali dengan pakaian rasmi antaranya bertopi merah, melegakan para jemaah.
Pengurus Khidmat Pelanggan, Zaini Rashid berkata, pasukan itu berperanan membantu jemaah haji Malaysia yang tersasar atau mengalami kesulitan ketika beribadat di Masjidil Haram.
“Pasukan ini akan menunjukkan arah serta jalan pulang kepada jemaah yang ingin ke maktab penginapan sebaik selesai menunaikan ibadah, selain membantu mereka yang mempunyai masalah kesihatan.
“Walaupun hanya berkekuatan 15 anggota dengan tujuh orang bertugas dalam satu-satu syif, kami tetap komited untuk memastikan setiap permasalahan jemaah di sekitar Masjidil Haram diselesaikan sebaik mungkin,” katanya di sini semalam.
Jelasnya, sebelum ini pasukan itu dibahagikan mengikut syif dengan sistem 8-8-8, iaitu 24 jam dibahagikan kepada tiga syif lapan jam.
“Namun syif tersebut telah diubah suai kepada 6, 8 dan 10 jam bergantung kepada waktu dan cuaca, bagi mengurangkan tekanan serta keletihan kepada petugas,” katanya.
Ujarnya, seramai tujuh anggota bertugas dalam satu syif dan mereka ditempatkan secara strategik di enam lokasi berisiko tinggi termasuk kawasan Marwah serta pintu-pintu utama Masjidil Haram.
Katanya, lokasi-lokasi tersebut dipilih bagi memastikan bantuan segera dapat diberikan jika berlaku sebarang kecemasan.
Menurut Ketua Unit Peronda TH, Sarjan Khairul Anuar Ramli, beliau serta ahli pasukannya berazam untuk memikul tanggungjawab sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan jemaah haji Malaysia ketika di Mekah terutama di Masjidil Haram.
“Antara kejadian yang paling tak boleh dilupakan ialah membantu jemaah yang terpisah dengan keluarga atau rakan di Masjidil Haram.
“Ada juga kes jemaah ditipu, contohnya mereka membayar untuk perkhidmatan kerusi roda tetapi ditinggalkan di tengah jalan tanpa dihantar ke penginapan seperti dijanjikan,” katanya.
Tahun ini merupakan pengalaman pertama buat Koperal Aqwa Hirzi Ahmad Norhisham, 31, bertugas di Tanah Suci dan dia berasa amat teruja meskipun dalam cabaran cuaca panas.
“Saya berasa beruntung dapat menyantuni tetamu Allah. Cabaran paling besar adalah bekerja dalam cuaca panas terik sehingga mencecah 45 darjah Celsius terutama antara pukul 2 hingga 3.30 petang.
“Apabila masuk waktu asar, suhu mula turun dan menjelang pukul 5 petang, keadaan lebih selesa untuk kami teruskan tugas,” katanya. – UTUSAN










