Trump bertemu Presiden baharu Syria

Trump bertemu Presiden baharu Syria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIYADH: Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama dalam tempoh 25 tahun, yang mengadakan pertemuan dengan pemimpin Syria.

Trump, yang kini berada di Riyadh dalam lawatan negara pertama bagi penggal keduanya, dijadualkan bertemu Ahmed al-Sharaa, yang kini menjadi presiden sementara Syria selepas penggulingan Bashar al-Assad pada Disember lalu.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu berlaku selepas Trump menawarkan penarikan sekatan sebagai usaha membuka lembaran baharu kepada negara dilanda perang itu.

Tiada presiden AS pernah bertemu pemimpin Syria sejak pertemuan Cill Clinton dan Hafez al-Assad, bapa kepada Bashar, di Geneva pada tahun 2000, dalam usaha yang gagal untuk memujuknya berdamai dengan Israel.

Semalam, Trump mengumumkan akan menarik balik sekatan era Bashar terhadap Syria, sebagai memenuhi permintaan sekutu Ahmed di Turkiye dan Arab Saudi, langkah terbaharu yang dilihat bercanggah dengan pendirian sekutu lama AS, Israel.

“Saya akan mengarahkan penamatan sekatan terhadap Syria bagi memberi mereka peluang untuk mencapai kejayaan,” kata Trump dalam ucapan pada Selasa, di sambut sorakan gemuruh hadirin termasuk pemerintah de facto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Trump menyifatkan sekatan terdahulu terhadap Syria sebagai kejam dan melumpuhkan, namun ia sudah tidak relevan kerana kini merupakan masa terbaik untuk rakyat Syria ‘bersinar’ dan membina semula negara.

Namun, pengumuman Trump itu dilihat mengejutkan pegawai AS, apabila Jabatan Perbendaharaan tidak memberikan garis masa mengenai penarikan balik sekatan.

AS sebelum ini mengenakan sekatan ketat ke atas urus niaga kewangan dengan Syria sepanjang perang saudara, dan bertegas untuk mengekalkan sekatan selagi rejim Bashar berkuasa tanpa dipertanggungjawabkan terhadap kekejaman yang dilakukan.

Trump juga tidak memberikan petunjuk bahawa AS akan mengeluarkan Syria daripada senarai negara penaja keganasan, label yang dikenakan sejak 1979 berikutan sokongan terhadap kumpulan Palestin, yang turut menyukarkan pelaburan asing ke negara itu.– AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN