KUALA LUMPUR: Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan memuji usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyatukan pendirian negara-negara ASEAN berhubung krisis kemanusiaan dan politik yang berlarutan di Myanmar.
Menurut beliau, Anwar berjaya memainkan peranan penting dengan mengekalkan saluran komunikasi langsung antara ASEAN dan dua pihak berkepentingan utama di Myanmar.

“Saya memuji Perdana Menteri Malaysia kerana menyatukan pendirian ASEAN dan mengekalkan hubungan langsung dengan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) serta Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG),” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, Anwar telah mengadakan dialog berasingan dengan pemimpin SAC dan NUG sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membuka ruang rundingan dan menggalakkan penglibatan terus antara kedua-dua pihak yang bertelagah.
Dalam perkembangan sama, Balakrishnan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan kerana menjadi tuan rumah kepada mesyuarat-mesyuarat ASEAN yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) minggu ini.
Katanya, Singapura memberi sokongan penuh terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini, selaras dengan komitmen serantau dalam memperkukuh kerjasama dan ketahanan politik.
“Dalam persekitaran global yang semakin mencabar ini, kita mesti terus memperkukuh kerjasama dengan rakan-rakan serantau, mempererat hubungan dan membina ASEAN yang lebih berdaya tahan serta inklusif,” katanya.
Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46 kali ini turut diadakan bersama Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama.
Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 dengan membawa tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ iaitu dua nilai utama berteraskan nilai Madani Malaysia, merangkumi nilai Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan serta Ihsan.
Ini merupakan kali kelima Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN selepas memegang jawatan itu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015. – UTUSAN










