PETALING JAYA: Sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di seluruh negara termasuk Sarawak perlu mematuhi Akta Pembangunan Petronas (PDA).
Klausa dalam undang-undang itu memperuntukkan semua hak, kuasa dan kepentingan berhubung dengan petroleum yang terdapat di dalam tanah Malaysia adalah diserahkan kepada Petronas.
Malah Perkara 74 berhubung senarai Persekutuan dan negeri yang memperuntukkan bahawa Perkara berkaitan petroleum termasuk lombong dan sumber asli terletak di bawah Senarai Persekutuan.
Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Dr. Azmi Hassan berkata, sebarang akta Persekutuan termasuk PDA mengatasi segala undang-undang dan kuasa kerajaan negeri dan oleh itu tindakan Sarawak menghantar surat tuntutan kepada anak syarikat Petronas adalah tidak wajar.
“Sepatutnya ia tidak berlaku, perjanjian yang dimeterai pada tiga tahun lalu antara kerajaan Sarawak dan Persekutuan iaitu apa jua yang tersangkut paut dengan perkara yang telah berlaku iaitu sedang dalam operasi seperti di Miri itu tidak boleh dikacau atau diusik.
“Tetapi nampaknya Sarawak tidak berpuas hati dengan menghantar surat tuntutan dan ini boleh meruntuhkan segala-galanya termasuk perjanjian yang dicapai sebelum ini. Ia bukan kerja Petronas yang baharu, jika baharu itu memang hak negeri itu untuk menyekat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, kerajaan negeri Sarawak menghantar surat tuntutan kepada Petronas Carigali Sdn. Bhd (PCSB) atas dakwaan melakukan pelanggaran atau ketidakpatuhan terhadap Seksyen 7(e) Ordinan Pengagihan Gas (DGO) 2016.
Susulan itu, Petronas melalui kenyataan balas memaklumkan bahawa mereka mempunyai hak dan kuasa secara statutori untuk menjalankan sebarang aktiviti atau operasi berkaitan petroleum di Sarawak.seperti termaktub di bawah PDA.
Provost Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai pula berkata, tindakan kerajaan Sarawak itu boleh menggugat kepentingan negara dengan tidak sepatutnya mengambil tindakan beremosi dalam menyelesaikan pertikaian yang wujud.
“Kerajaan Sarawak seolah-olah tidak melihat perspektif yang lebih mendalam dalam tuntutan mereka, sekiranya pemain antarabangsa keluar satu persatu maknanya negeri itu pun tidak dapat mengendalikan gas.
“Tiada aspek tolak ansur dalam rundingan itu hingga menyebabkan ketegangan, apabila ketegangan antara dua pihak itu wujud maka inilah yang akan terjadi. Sepatutnya duduk berbincang memandangkan Sarawak tetap sebahagian daripada Malaysia.
“Sarawak bukan hendak keluar daripada Malaysia jadi mengapa perlu menyebabkan proses rundingan ini menjadi tegang atau berpatah arang, berkerat rotan?” soalnya.
Barjoyai berkata, sekiranya ketegangan antara Petronas dan Petros terus memuncak tanpa penyelesaian maka ia akan memberi impak negatif kepada negara.
“Kita tidak mahu semua pemain antarabangsa keluar dari Malaysia dan tidak lagi berminat dengan sumber gas serta minyak negara kita. Kita kena ingat sumber asli itu merupakan eksport penting.
“Jika berterusan, Malaysia akan hilang eksport yang penting dan mengubah struktur ekonomi negara,” katanya.
Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Muhammad Fathi Yusof berpendapat pertikaian yang melibatkan kerajaan Sarawak dan Petronas seharusnya dibawa serta diselesaikan di meja rundingan dengan melibatkan kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia perlu diselesaikan secara adil dan menyeluruh, maksudnya kerajaan Persekutuan perlu mengiktiraf asal usul bidang kuasa galian termasuk petroleum yang berada di bawah kerajaan negeri. – UTUSAN










