Semarak peranan ASEAN di peringkat kolej, universiti tempatan

Semarak peranan ASEAN di peringkat kolej, universiti tempatan

Universiti ASEAN
JOHARI Abdul menyantuni anggota YPA AIPA pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Konsulatif YPA AIPA Ke-2 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi disaran menerapkan peranan ASEAN di seluruh institusi pendidikan tinggi sebagai langkah untuk memupuk semangat negara serantau dalam kalangan pemimpin muda.

Langkah itu disifatkan penting ke arah membentuk penyatuan negara-negara serantau dalam usaha mendepani cabaran ekonomi global ketika ini khususnya berkaitan dengan pertembungan antara Amerika Syarikat (AS) dan China serta krisis antara India dan Pakistan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, isu global kini sukar diramal dan negara sukar berdepan dengan situasi tersebut tanpa gandingan negara-negara serantau yang saling mendukung antara satu sama lain.

“Kita tidak mampu melakukan itu kerana keadaan yang amat terdesak dengan AS, China, krisis di Timur Tengah dan Afrika. Kita mesti melangkah dengan cepat supaya tiada perselisihan antara kita (ASEAN) selain bergerak sebagai satu entiti ASEAN.

“Begitu di Malaysia kita akan meminta Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memberikan tumpuan kepada ASEAN yang diperluaskan ke universiti-universiti. Itulah caranya, kalau tidak kita akan berdepan masalah seperti dihadapi negara lain. Dunia sekarang sukar dijangka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Ahli Parlimen Belia (YPA) Perhimpunan Antara Ahli Parlimen ASEAN (AIPA), hari ini.

Jelasnya, peranan belia amat penting untuk mengemudi ASEAN pada masa hadapan apabila 40 peratus daripada penduduk dirantau ini terdiri daripada golongan itu.

“Jadi, kalau tidak bekerjasama (dengan negara serantau), kita akan hilang semangat ASEAN. Lihat di Timur Tengah, Afrika dan sekarang India dan Pakistan ada masalah bergaduh. Sebab itu hubungan kita yang dibina hampir 60 tahun harus dimantapkan,” ujarnya.

Selain itu, Johari yang juga Presiden AIPA memaklumkan Pengerusi YPA AIPA, Datuk Mohd. Shahar Abdullah akan melawat negara-negara ASEAN khususnya dalam kalangan pemimpin muda untuk memperkemas hubungan.

“Pelbagai program sudah disusun, itu antaranya. Selain itu dalam sidang kemuncak nanti mungkin akan ditimbulkan bukan sahaja program AIPA tetapi juga YPA pada sidang akan datang dan kita akan dengar respon daripada kepemimpinan ASEAN,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN