BESUT: Gagal mengawal murid dan pernah ‘diludah’ ketika mula memasuki kelas Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) 11 tahun lalu, menyebabkan Khairul Azmi Ab. Rahman hampir berputus asa dan berasa ‘menyesal’ mengajar golongan berkenaan.
Namun Khairul Azmi, 40, membuang perasaan itu dan menurunkan egonya demi menyelami kehidupan murid istimewa sehingga kini dia ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya sebagai guru PPKI.
Dia yang sudah berkhidmat kira-kira 11 tahun dalam bidang perguruan itu berkata, kanak-kanak istimewa tersebut perlu diasuh dengan cara berbeza berbanding rakan-rakan seusianya ekoran masalah pembelajaran yang dihadapi.
“Sebagai seorang guru, saya juga mempunyai ego sendiri yang mana kadangkala saya rasa tercabar dengan sikap murid-murid tetapi apabila saya renung kembali, anak-anak istimewa ini hanya duduk dalam ‘dunia’ mereka tanpa pedulikan keadaan sekeliling.
“Sejak itu, saya perlahan-lahan belajar membuang ego demi tugas yang diamanahkan dan dalam masa sama belajar memahami mereka sehingga saya ‘jatuh cinta’ dengan tugas sebagai guru PPKI,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Tempinis di sini.
Khairul Azmi yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam) berkata, dia menjadikan murid-muridnya sebagai ‘rakan karib’ dan belajar memahami bagaimana cara mereka berfikir, bermain serta belajar.
Katanya, proses mendidik murid peringkat rendah di PPKI jauh berbeza dengan mengajar pelajar PPKI yang telah memasuki peringkat menengah kerana tahap pemikiran mereka boleh dikatakan masih di tahap usia lima ke enam tahun.
“Saya pernah hampir berputus asa dan ‘menyesal’ untuk mengajar murid-murid PPKI pada peringkat awal menceburi bidang perguruan ini apabila gagal mengawal murid-murid di kelas.
“Ketika awal-awal mengajar pelajar istimewa ini dahulu, saya pernah ‘diludah’ oleh murid dan menjadi sasaran mereka ketika tantrum apabila kita melarang mereka melakukan sesuatu.
“Namun saya membuang perasaan menyesal dan mula belajar menerokai cara bagaimana untuk menangani golongan istimewa ini,” katanya yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Tempinis, di sini.-UTUSAN.