‘Saya ikhlas bantu, tidak sangka viral’

‘Saya ikhlas bantu, tidak sangka viral’

TUMIN Wahab menunjukkan gambarnya yang diambil oleh pelancong wanita dari China ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan, Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Dia datang minta bantuan, saya ikhlas bantu namun tidak sangka pertolongan kecil itu jadi viral (tular),”.

Demikian kata warga emas, Tumin Wahab, 67, mengenai video tular dirinya membantu seorang pelancong dari China dengan membelikan tiket tren LRT untuk wanita itu.

Ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasik Selatan di sini, dia memberitahu kejadian itu berlaku pada waktu petang 16 Mei lalu ketika dia seperti kebiasaan menjual tisu di kawasan tersebut.

“Wanita itu berseorangan, saya memang lihat dia seperti gelisah, kemudian dia datang meminta bantuan. Walaupun perbualan kami terbatas kerana dia juga tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi saya dapat memahami wanita itu mahu ke Stesen LRT Masjid Jamek.

“Dia kata ada meminta bantuan orang lain tetapi tiada yang membantu, lalu dia datang kepada saya untuk tujuan sama, lalu saya terus menunjukkan arah ke stesen LRT kepadanya,” katanya.

Tumin menambah, kerana bimbangkan keadaan wanita itu, dia kembali ke stesen LRT tersebut dan membantu membelikan wanita itu token untuknya menaiki tren.

“Pada 22 Mei lalu, wanita itu datang semula bertemu saya di sini, katanya dia akan pulang semula ke China pada hari itu. Dia juga sempat mengambil gambar saya dan memberikan sekeping gambar itu kepada saya,” katanya.

Katanya, lagi, selepas video itu tular, ada beberapa orang awam lain turut bertemunya sambil menunjukkan video berkenaan.

“Saya pada mulanya tidak tahu mengenai video itu kerana saya sendiri tidak mempunyai telefon, selepas beg saya dicuri tahun lalu.

“Saya hanya memberikan bantuan ketika ada yang mahukan pertolongan, tidak ada niat apa-apa. Lagipun selama saya berada di sini menjual tisu, memang ramai pelancong datang meminta bantuan untuk menunjukkan arah dan sebagainya,” katanya.

Baru-baru ini tular di media sosial video seorang pelancong wanita dari China yang berkongsikan kisahnya dibantu seorang lelaki warga emas.

Kisah berkenaan menarik perhatian ramai selepas wanita itu menangis kerana terharu dengan kesungguhan lelaki itu membantunya membelikan token tiket untuk menaiki tren.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN