Risiko DPA jadi alat lepaskan golongan elit

Risiko DPA jadi alat lepaskan golongan elit

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaksanaan Perjanjian Pendakwaan Tertunda (DPA) di negara ini berisiko menjadi alat untuk melepaskan golongan elit daripada hukuman sewajarnya, sekiranya tia­da reformasi institusi secara menyeluruh.

Justeru, Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim mencadangkan satu rangka kerja legislatif yang kukuh, pemantauan awam ketat dan laporan awam secara berkala untuk setiap kes yang melibatkan DPA disediakan terlebih dahulu.

Ini kerana, katanya, negara masih berdepan cabaran ke­telusan, ketidakbebasan institusi pendakwaan dan campur tangan politik.

“Dalam konteks sistem ke­adilan yang masih dibelenggu dengan isu integriti dan pe­ngaruh politik, DPA mungkin memberi laluan kepada run­dingan senyap dan penyelesaian luar mahkamah yang tidak memulangkan kepercayaan rak­yat terhadap sistem keadilan jenayah.

“Jika pesalah rasuah kecil dijatuhi hukuman berat demi memberikan pengajaran, ma­nakala pesalah korporat berprofil tinggi mendapat kelebihan rundingan DPA, ini hanya mencipta jurang keadilan yang jelas. MCW menolak sebarang bentuk sistem dwi-standard da­lam penguatkuasaan undang-undang” katanya kepada Ming­guan Malaysia.

Semalam, bekas Hakim Mah­­kamah Rayuan, Datuk Ya­acob Sam berkata, DPA membawa lebih banyak mudarat berban­ding kebaikan kerana boleh menyebabkan berlaku konflik termasuk pilih kasih dalam menentukan kes mana yang hendak dilengahkan dan kes mana yang akan terus didakwa.

DPA bermaksud pertuduhan entiti atau institusi perniagaan ditangguhkan sementara waktu dan mereka perlu mematuhi beberapa syarat antaranya me­libatkan pemulangan semula wang atau aset diseleweng, membayar penalti atau denda dikenakan.

Sebaliknya Pakar Krimino­logi, Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. P. Sundramoorthy berkata, DPA boleh memainkan peranan penting dengan memaksa entiti yang bersalah memulangkan aset yang dicuri atau diseleweng tanpa berlengah.

Katanya, tertuduh juga bo­leh membayar penalti atau pam­pasan sewajarnya kepada pihak terjejas serta melaksa­nakan pembaharuan institusi yang bermakna bagi mencegah salah laku di masa hadapan.

“Perjanjian ini boleh me­rangkumi syarat-syarat yang mewajibkan kerjasama penuh dengan siasatan yang sedang berjalan, sekali gus mengukuhkan proses penguatkuasaan secara menyeluruh.

“Keputusan untuk menawarkan DPA hendaklah berda­sarkan piawaian undang-undang yang objektif dan tidak dipengaruhi oleh kuasa, status atau hubungan politik tertu­duh.

“Pendakwa perlu memastikan pelaku bagi kesalahan kecil tidak menerima hukuman lebih berat berbanding yang terlibat dalam kesalahan lebih besar dan kompleks.

“Dalam konteks ini, budi bicara pendakwa yang seimbang, digandingkan dengan meka­nisme pengawasan bebas yang kukuh, adalah penting untuk mengelakkan berat sebelah atau penyalahgunaan proses,” katanya.

Pengarah Eksekutif, Institut Reformasi Politik dan Demokrasi (Reform), Idzuafi Hadi Kamilan pula menyeru satu kajian menyeluruh melibatkan pelba­gai pihak berkepentingan di­buat untuk melihat objektif, me­kanisme, proses membuat ke­putusan sama ada bersesuaian dengan konteks Malaysia atau sebaliknya.

Jelasnya, kajian itu perlu me­libatkan Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, mahkamah, ahli akademik dan kumpulan masyarakat sivil.

“Beberapa aspek penting perlu dilihat oleh kerajaan sekiranya ingin melaksanakan DPA. Adakah satu penggubalan dan rangka undang-undang baharu dan khusus atau memasukkan peruntukan ke dalam Kanun Prosedur Jenayah?” katanya.

“Kriteria kelayakan khusus hanya bagi jenayah korporat bukan kekerasan iaitu kesalahan rasuah, penipuan kewangan dan Pengubahan Wang Haram (AMLA). Perjanjian mesti mendapat kelulusan Mahkamah Tinggi untuk memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Perjanjian dan syaratnya perlu diumumkan kepada umum melalui portal rasmi agensi pendakwaan serta mewujudkan unit khas dalam Jabatan Peguam Negara untuk memantau pelaksanaan dan pematuhannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN