Persempadanan Selangor, Putrajaya dimuktamad hujung tahun

Persempadanan Selangor, Putrajaya dimuktamad hujung tahun

AMIRUDIN Shari menyampaikan Anugerah Khas Tokoh Guru dan Perguruan kepada Prof. Datuk Dr. Mujaini Tarimin pada Majlis Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor Tahun 2025 di Dewan Jamuan, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Persempadanan antara Selangor dan Wilayah Persekutuan Put­rajaya dijangka dimuktamadkan hu­jung tahun ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebahagian besar proses melibatkan kawasan Put­rajaya telah hampir dilengkapkan.

“Setakat ini, proses persempadanan di Putrajaya telah selesai sepenuhnya termasuk di kawasan seperti Sepang dan Kuala Langat,” katanya selepas Sambutan Hari Guru Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Dewan Jamuan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, semalam.

Beliau berkata, kerja-kerja pengukuran sempadan telah dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dengan kerjasama agensi berkaitan.

Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan lain melibatkan Kuala Lumpur seperti Ampang, Petaling Jaya dan Subang masih dalam proses untuk diselesaikan.

“Kawasan terbabit dijangka mengambil masa lebih lama berikutan kerumitan sempadan dan pembangunan yang padat.

“Persempadanan di kawasan tersebut memerlukan penelitian lebih mendalam sebelum dimuktamadkan, tetapi kita optimis ia dapat diselesaikan secara keseluruhan,” ujarnya.

Pada 21 Februari lalu, Ami­rudin memaklumkan, JUPEM sudah menyelesaikan fasa pengukuran dan pemetaan sempadan antara Selangor dan Kuala Lumpur dengan jarak sejauh 103.7 kilometer (km) penghujung Oktober tahun lalu.

Jelasnya lagi, berdasarkan proses pengukuran dan pemetaan berkenaan, secara keseluruhan kira-kira 86 lembar peta dengan keluasan 103.7 km direkodkan.

Menurut jawapan kerajaan negeri di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 2008, kerajaan negeri telah memeterai perjanjian penyerahan Putrajaya kepada Kerajaan Persekutuan pada 30 julai 1995.

Perjanjian itu memperuntukkan suatu pemberian untuk selama-Iamanya tanpa sekatan kepentingan kepada Kerajaan Persekutuan.

Pada 7 November 2000, satu persetujuan telah dicapai antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Selangor bahawa kawasan yang dikenali sebagai Putrajaya itu diletak hakkan kepada Kerajaan Persekutuan sebagai Wilayah Persekutuan dikenali sebagai Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Melalui perjanjian tersebut Kerajaan Persekutuan telah memberikan sejumlah RM200 juta kepada kerajaan negeri dan RM7.5 juta setiap tahun untuk selama-lamanya.

Kerajaan Persekutuan juga telah memberikan RM800 juta kepada kerajaan negeri di bawah Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) bagi tujuan pembangunan kawasan-kawasan yang terletak di dalam daerah Sepang khususnya pembangunan di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Sekiranya keseluruhan atau mana-mana bahagian jumlah wang itu tidak digunakan dalam tempoh RMK-8, jumlah wang itu atau mana-mana bahagian jumlah wang itu hendaklah terus diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi maksud pembangunan kawasan-kawasan tersebut.

Maklumat di internet pula menyatakan, Putrajaya mencakupi kawasan seluas 49 kilometer persegi dalam daerah Sepang, menjadikannya wilayah paling kecil di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN