Pengabaian kanak-kanak meningkat tiga kali ganda

Pengabaian kanak-kanak meningkat tiga kali ganda

CHE Murad Sayang Ramjan menunjukkan statistik institusi kanak-kanak di bawah JKM ketika ditemu bual di Putrajaya, baru-baru ini. – UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kes pengabaian ka­nak-kanak di negara ini meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu dan kini dilihat mencapai tahap membimbangkan.

Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes pengabaian kanak-kanak pada 2020 berjumlah 1,618 kes mening­kat kepada 4,126 kes tahun lalu.

Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Seksyen 17 17(1)(d) menya­takan, pengabaian kanak-kanak merujuk kepada tidak menyediakan keperluan asas (makan minum, tempat tinggal, pakaian, kasih sayang dan pendidikan) dan boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, termasuk mengancam nyawa.

Dalam tempoh tersebut, JKM merekodkan sebanyak 31,247 kes perlindungan dan pemeliharaan kanak-kanak termasuk pengabaian, dengan lebih 64 peratus mangsa adalah kanak-kanak perempuan.

Selain itu, kes penderaan seksual juga merekodkan jumlah yang tinggi sebanyak 9,365 kes sepanjang tempoh tersebut, ter­tinggi pada 2023 (2,523 kes).

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, kes melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak amat membimbangkan de­ngan banyak kes tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.

Katanya, tidak ada keseda­ran, takut untuk melaporkan kes, stigma negatif dan kurang maklumat antara faktor pe­ningkatan kes.

“Ini berlaku kerana masalah sosial termasuk ekonomi yang menghimpit masyarakat kita.

“Apabila ibu bapa tertekan dengan masalah kewangan, rasa marah, tidak puas hati atau tekanan itu ‘disalurkan’ kepada anak-anak. Apa akan terjadi kepada anak-anak ini?

“Ada ibu bapa mengambil barang terlarang seperti dadah. Mangsa terdekat mereka pasti anak-anak yang tidak mampu melakukan apa-apa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Che Murad berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga menunjukkan lebih 95 peratus kanak-kanak mang­sa dera termasuk penderaan seksual, mempunyai hubu­ngan rapat dengan pelaku se­perti ibu bapa kandung atau ibu bapa tiri.

Katanya, penggunaan media sosial tanpa batasan dengan banyak bahan pornografi mudah diakses, mendedahkan kanak-kanak kepada ancaman pedofilia.

“Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi gambar kanak-kanak dalam pelbagai bentuk.

“Semakin teknologi berkembang, semakin rumit usaha untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul. Hal ini sangat membimbangkan,” katanya.

Bagi menangani jenayah seksual bawah umur, Che Murad berkata, JKM mewujudkan Program Advokasi Perlin­dungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-kanak di sekolah-sekolah seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

Program itu dimulakan tahun lalu dan dilaksanakan di 337 buah sekolah, telah memberi manfaat kepada 128,148 kanak-kanak dan 189,479 peserta.

Pada tahun ini, program di­sasarkan melibatkan 300 buah sekolah dan 30 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK) terpilih.

Selain itu, katanya, orang ramai perlu memanfaatkan ‘Talian Kasih 15999’ beroperasi 24 jam setiap hari untuk melaporkan kes-kes penderaan atau pengabaian khususnya melibatkan kanak-kanak.

“Talian ini membolehkan mereka mengadu kepada pihak lain yang mereka anggap boleh dipercayai dan selamat untuk berkongsi masalah.

“Selalunya, kes membabitkan kanak-kanak dilakukan oleh individu terdekat seper­ti ibu bapa, adik beradik menyebabkan mereka tidak tahu (saluran sesuai) untuk meminta bantuan.

“Jika kanak-kanak menga­du kepada guru atau rakan-rakan, gunakan talian ini untuk mendedahkan salah laku yang berlaku. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga bersama kita. Mereka akan menyiasat setiap aduan diterima, tiada kes akan terpinggir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN