Pendaki warga India, Filipina maut di Gunung Everest

Pendaki warga India, Filipina maut di Gunung Everest

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KATHMANDU: Dua pendaki dari India dan Filipina menjadi mangsa pertama yang maut ketika cuba menawan Gunung Everest dalam musim pendakian antara Mac hingga Mei.

Subrata Ghosh, 45, dari India, meninggal dunia pada Khamis di bawah Bukit Hillary ketika dalam perjalanan turun selepas berjaya menawan puncak setinggi 8,849 meter.

“Dia enggan turun dari bawah Bukit Hillary,” kata pegawai pendakian, Bodhraj Bhandari.

Bukit Hillary terletak di kawasan dikenali sebagai ‘zon kematian’, iaitu antara Kol Selatan setinggi 8,000 meter dan puncak, di mana tahap oksigen semula jadi tidak mencukupi untuk terus hidup.

“Usaha sedang dijalankan untuk membawa turun mayat ke kem pangkalan. Punca kematiannya akan diketahui hanya selepas bedah siasat,” kata Bhandari.

Pendaki dari Filipina, Philipp II Santiago, 45, disahkan meninggal dunia lewat malam Rabu di Kol Selatan, ketika dalam perjalanan mendaki ke puncak, menurut pegawai Jabatan Pelancongan, Himal Gautam.

Santiago dilaporkan keletihan sebaik tiba di kem keempat dan meninggal dunia ketika berehat di khemahnya, kata Gautam.

Santiago dan Ghosh merupakan ahli ekspedisi antarabangsa yang dianjurkan oleh Bhandari.

Nepal mengeluarkan 459 permit untuk mendaki Gunung Everest bagi musim pendakian yang akan berakhir pada Mei.

Hampir 100 pendaki bersama pemandu mereka berjaya sampai ke puncak minggu ini.

Menurut pangkalan data Himalaya dan pegawai pendakian, sekurang-kurangnya 345 orang terkorban di Gunung Everest dalam tempoh lebih 100 tahun sejak ekspedisi ke puncak mula direkodkan.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN