SABAK BERNAM: Kaedah penanaman padi yang menggabungkan baja berteknologi dan formulasi agronomi moden diperkenal selepas ia berjaya meningkatkan hasil kepada 6.08 tan metrik sehektar berbanding 4.8.
Kaedah tersebut menggunakan baja Briar & Behn Meyer’s Advance & Sustainable Series for Excellence (BASE) merupakan produk terbaru daripada Briar Resources Sdn. Bhd. (Briar Resources) yang sudah pun melalui penyelidikan selama 12 tahun.
Keberkesanannya dilihat menerusi pelaksanaan projek rintis yang dijalankan dekat kawasan sawah padi di Sungai Leman, Sekinchan; Pendang, Kedah; Pekan, Pahang dan Terachi Negeri Sembilan dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, kaedah penanaman menggunakan baja BASE itu akan dikembangkan ke seluruh negara melalui Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Kita kena lihat (beri perhatian) kepada usaha ini. Jumlah import makanan di negara ini bernilai RM78 bilion. Sementara jumlah beras yang diimport pula lebih RM3 bilion dengan jumlah import sebanyak 1408 juta tan (pada 2023).
“Pengeluaran padi tempatan pula semakin rendah, rata-rata cuma dapat sekitar tiga tan sehektar. Itu tak cukup untuk menampung permintaan beras tempatan. Malah, laporan daripada MARDI, kita kehilangan sekurang-kurangnya 200 tan daripada 1,000 tan padi yang diproses dari sawah dan di kilang,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran bersama Pesawah Sungai Leman dan Pelancaran Teknologi BASE, hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Briar Resources, Datuk Seri Syed Razlan Tuanku Syed Putra Jamalullail yang turut hadir dalam majlis itu memberitahu, pengeluaran padi melalui kaedah itu dapat ditingkatkan walaupun dalam keadaan cuaca buruk atau banjir.
“Kami percaya teknologi BASE akan memberi impak positif kepada pengeluaran pertanian di Malaysia dan Global serta mendorong kemajuan berterusan dalam teknologi pertanian.
“Kami gembira untuk berkongsi teknologi itu berjaya meningkatkan hasil padi sebanyak 26.67 peratus dalam projek Sungai Leman. Ia bukti teknologi itu berkesan dan memberikan hasil lebih baik,” ujarnya.
Katanya lagi, projek tersebut adalah sokongan kepada permintaan beras yang semakin meningkat dengan meningkatkan produktiviti tempatan di samping mengurangkan kebergantungan kepada barangan makanan import. – UTUSAN