Pemenang pingat emas di Rusia terima diploma UiTM

Pemenang pingat emas di Rusia terima diploma UiTM

UiTM
MUHAMAD SUFI IRFAN MOHAMAD RUSDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penerima anugerah pingat emas bagi kategori Confectionery Arts dalam pertandingan masakan, Young Chef International Competition 2025 dekat Kazan di Tatarstan, Rusia minggu lalu menerima Diploma Seni Kulinari.

Muhamad Sufi Irfan Mohamad Rusdin, 23, yang sebelum ini menuntut di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan itu menerima diplomanya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-101.

Menurutnya yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan itu, kejayaan meraih anugerah pada pertandingan tersebut dan penerimaan diploma adalah kenangan paling manis sepanjang pengajiannya dalam bidang seni kulinari.

“Saya diumumkan sebagai pemenang pingat emas dalam pertandingan tersebut pada minggu lalu. Hari ini juga saya mencatat kejayaan manis apabila menerima Diploma Seni Kulinari sempena konvokesyen,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, Muhamad Sufi Irfan dilapor menang pertandingan peringkat antarabangsa itu dengan menyediakan Ikan Kod Goreng Rangup dengan Salad Tomato dan Basil bersama Sos Lemon (pembuka selera) serta Tenderloin Daging Lembu Marmar disajikan dengan Jus Kari.

Selain itu, dia turut menyediakan hidangan sayur bersama Cendawan Kukur Tempatan dan Kentang Rosti (hidangan utama); serta Bingka Labu, Sos Oren Mandarin bersama Mousse Coklat, Buah-Buahan Segar dan Hiasan Gula (pencuci mulut).

Tambah Muhamad Sufi Irfan, dia tidak mahu pengajiannya terhenti di peringkat itu sahaja dan kini sedang menuntut dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari di UiTM Permatang Pauh.

“Saya amat berminat untuk sambung pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga peroleh doktor falsafah (PhD) dalam bidang Gastronomi.

“Untuk capai kejayaan saya yakin kita perlu menghormati orang lain dan tidak mendongak ke langit dan sentiasa berpendapat kalau kita sudah hebat, pasti ada yang lebih hebat, jangan sombong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN