Pembeli terbeban dua projek rumah terbengkalai

Pembeli terbeban dua projek rumah terbengkalai

Rumah terbengkalai
NURUL Syazwani Noh menyantuni sebahagian pembeli projek rumah terbengkalai Taman Mutiara dan Taman Sungai Yu Indah Fasa 2 dalam sesi perbincangan khas antara mereka, pemaju dan agensi kerajaan, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kira-kira 150 pembeli rumah dekat dua kawasan di Taman Mutiara dan projek Rumah Selangorku di Taman Sungai Yu Indah Fasa 2 terpaksa menanggung beban pinjaman perumahan sekurang-kurangnya selama tujuh tahun apabila kediaman itu masih belum diduduki.

Malah, pembeli mendakwa mereka terpaksa membayar seolah-olah dua buah rumah termasuk bayaran sewa bagi kediaman yang diduduki sekarang.

Seorang pembeli rumah Taman Mutiara , Emil Nordin, 49, memberitahu keadaan itu cukup membebankannya kerana perlu menanggung kos kediaman selain sara hidup bagi lapan orang anaknya yang enam darinya masih bersekolah.

“Amat membebankan, seolah-olah terpaksa membayar dua rumah. Pelbagai janji diberikan oleh pemaju yang mengatakan projek tersebut sepatutnya siap pada 2020, namun memberi alasan Covid-19.

“Sedangkan kalau ikut perjanjian jual beli, pembeli sepatutnya boleh pindah seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuatkuasa. Saya sampai malu dengan tuan rumah sekarang yang kerap memberi peluang untuk terus menyewa, cuma kali ini dia beri tempoh sehingga bulan ini (Mei) kerana mahu ambil kembali rumah tersebut,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 50 pembeli rumah hadir dalam sesi perbincangan khas antara pemaju, agensi kerajaan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh bagi membincangkan isu projek sakit yang membelenggu mereka.

Wakil pembeli Anas Rosli, 38, pula menyataka rata-rata pembeli hilang keyakinan kepada pemaju yang sering memberi janji palsu kononnya rumah akan diserahkan sebelum Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha pada tahun lalu.

“Kebanyakan pembeli adalah pemilik rumah pertama dan tidak menyangka terpaksa menunggu selama ini. Ada yang tunggu dari 2020, 2022 dan sebagainya.

“Tempoh pembinaan sepatutnya mengambil masa ua tahun dan dijanjikan siap pada 2020, kemudian 2022. Namun pemaju memberi pelbagai alasan termasuk masalah dokumen dan pelan bangunan yang tidak diluluskan,” ujarnya.

Sementara itu, Nurul Syazwani memberitahu, pemaju memberi komitmen untuk menyelesaikan projek dan membuat serahan kunci pada hujung bulan ini kerana dimaklumkan mereka sedang menunggu kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Saya diberitahu sebahagian besar masalah yang timbul adalah melibatkan utiliti terutama bekalan air oleh Air Selangor. Namun, Air Selangor memaklumkan mereka komited untuk menyelesaikan isu bekalan air selepas memperoleh surat sokongan dan dokumen lain daripada pemaju.

“Bagi projek di bawah skim Rumah Selangorku, saya menggesa kerajaan negeri campur tangan dalam menyelesaikan kelewatan tersebut selepas Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memberitahu mereka tiada kuasa untuk memberi bantuan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya