Pakar bedah AS lakukan pemindahan pundi kencing pertama di dunia

Pakar bedah AS lakukan pemindahan pundi kencing pertama di dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LOS ANGELES: Sekumpulan pakar bedah di California mencipta sejarah perubatan apabila berjaya melakukan pemindahan pundi kencing pertama di dunia.

Ia sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit yang sebelum ini kehilangan kedua-dua buah pinggang dan pundi kencing akibat rawatan kanser serta penyakit buah pinggang tahap akhir.

Oscar Larrainzar, 41, tidak lagi perlu menjalani rawatan dialisis selepas menjalani pembedahan berisiko tinggi itu walaupun risiko jangka pendek dan panjang serta pelbagai ketidaktentuan masih wujud.

Pembedahan bersejarah itu melibatkan pemindahan satu buah pinggang dan pundi kencing yang diperoleh daripada penderma dan dilaksanakan oleh dua pakar urologi yang telah membangunkan teknik tersebut selama beberapa tahun.

“Ini adalah detik bersejarah dalam bidang perubatan. Ia berpotensi mengubah cara kita merawat pesakit dengan pundi kencing yang telah gagal berfungsi,” kata Pengarah Eksekutif Institut Urologi Universiti Southern California (USC), Dr Inderbir Gill yang mengetuai prosedur bersama Dr Nima Nassiri dari Institut Urologi Universiti California Los Angeles (UCLA).

Nassiri berkata, usaha pertama untuk pemindahan pundi kencing ini telah mengambil masa lebih empat tahun untuk direalisasikan.

“Bagi pesakit yang dipilih dengan tepat, ia sungguh mengujakan apabila dapat menawarkan pilihan baharu yang berpotensi,” katanya dalam satu kenyataan.

Kebiasaannya, pesakit yang kehilangan pundi kencing akan menggunakan sebahagian usus bagi menggantikan fungsi organ tersebut.

Namun, pendekatan itu sering menyebabkan komplikasi seperti jangkitan dan masalah penghadaman yang mendorong pakar perubatan global mencari alternatif menerusi pemindahan pundi kencing.

Pemindahan yang dilakukan pada awal Mei lalu dilaporkan berjaya setakat ini dan pasukan perubatan berpuas hati dengan proses pemulihan Larrainzar.

Bagaimanapun, masih terdapat banyak perkara belum diketahui termasuk keberkesanan jangka panjang pundi kencing baharu itu serta tempoh pesakit perlu mengambil ubat penekanan imun bagi mengelakkan penolakan organ.

UCLA Health merancang untuk meneruskan beberapa lagi pemindahan pundi kencing menerusi satu kajian klinikal bagi memahami komplikasi yang mungkin timbul dan membantu lebih ramai pesakit yang berdepan masalah serius berkaitan pundi kencing. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN