SHAH ALAM: Status warga emas bukan penghalang bagi seorang wanita menggenggam ijazah doktor falsafah (PhD) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Ke-101, hari ini.
Lebih menarik, wanita berusia 68 tahun itu yang mempunyai 14 orang cucu mampu melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal iaitu farmasi untuk bergelar sebagai pensyarah selepas bersara daripada Kementerian Kesihatan pada 2017.
Menurut Dr. Kamaliah Md. Saman, keputusan untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Farmasi Klinikal di Fakulti Farmasi universiti itu bermula sejak tujuh tahun lalu selepas berhasrat menjadi warga pendidik bidang tersebut.
“Saya mohon untuk jadi pensyarah selepas lebih 30 tahun berkhidmat dalam sektor kesihatan awam.
“Ramai pensyarah fakulti ini ada Master (Ijazah), ada PhD. Jadi, saya perlu bersaing dengan mereka,” katanya selepas menerima anugerah tersebut pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-101 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam, hari ini.
Katanya, pengaplikasian teknologi dengan penggunaan perisian terkini merupakan cabaran terbesar baginya untuk mendapatkan bahan rujukan bagi menyiapkan penulisan akademiknya (tesis).
Namun, jelas Kamaliah, ia tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan pengajian sebaliknya memanfaatkan bantuan daripada rakan-rakan dan mahasiswanya bagi mendapatkan rujukan penyelidikan serta jurnal.
“Selalu tanya pensyarah serta mahasiswa saya sendiri untuk tolong gunakan perisian itu dan Alhamdulillah, akhirnya saya mahir gunakan perisian tersebut.
“Walaupun saya mengambil masa untuk menghabiskan pengajian, namun itu tidak memberi tekanan,sebaliknya saya akan memanfaatkan masa terluang untuk menyiapkan tesis,” ujarnya.
Tambahnya, pengalamannya yang pernah bekerja sebagai seorang ahli farmasi mampu memberikan input bermanfaat kepada pelajar jurusan berkenaan, iaitu bagaimana industri farmasi beroperasi ketika ini. – UTUSAN