Najib mohon Ahmad Terrirudin dipenjara

Najib mohon Ahmad Terrirudin dipenjara

NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa Jabatan Peguam Negara sengaja mengelirukan mahkamah dan memesongkan keadilan apabila tidak berhujah dengan benar berhubung Titah Adendum.

Dakwanya, bekas Peguam Negara (AG), Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh sengaja mengarahkan atau telah menyebabkan hujah tidak benar dikemukakan sewaktu permohonan semakan kehakiman berhubung titah itu pertama kali didengar di Mahkamah Tinggi di sini, tahun lalu.

Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit difailkan, Najib mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari 2024.

“Responden (Ahmad Terrirudin) sendiri telah menerima Titah Adendum daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Ai-Mustafa Billah Shah) yang telah menitahkan agar beliau melaksanakan tahanan rumah ke atas pemohon (Najib) bermula 29 Januari 2024.

“Tindakan sedemikian merupakan satu cubaan yang disengajakan mengelirukan mahkamah dan memesongkan perjalanan keadilan. Kesan daripada tindakan ini adalah penafian pemohon daripada mendapatkan remedi yang sewajarnya sekali gus menyebabkan perlanjutan pemenjaraan pemohon dipenjara dan bukannya tahanan rumah.

“Tindakan itu menyebabkan pemohon menanggung prosiding guaman dan kos yang tidak diperlukan selain kehilangan sebahagian kebebasan melalui tahanan di rumah,” kata Najib dalam notis permohonan komital secara ex-parte (sebelah pihak) terhadap Ahmad Terrirudin yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan.

Najib memfailkan permohonan komital berbentuk pemenjaraan terhadap Ahmad Terrirudin pada 21 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini. Sesalinan dokumen itu diperoleh media pagi semalam.

Tambah Najib, tindakan oleh Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan Peguam Negara adalah bertentangan dengan kewajipan utama beliau terhadap pentadbiran keadilan.

“Ia menjejaskan keyakinan awam terhadap sistem kehakiman dan merupakan penghinaan terhadap mahkamah dan gangguan terhadap pentadbiran keadilan yang sewajarnya terutamanya beliau mempunyai kewajiban untuk berte­rus terang terhadap pemohon dan orang awam secara amnya,”katanya.

Sementara itu menurut kenyataan dikeluarkan Te­tuan Shafee & Co antara lain menyata­kan asas permohonan itu adalah berkait salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang diserahkan kepada anak Najib, Datuk Mohamad Nizar oleh pejabat Pejabat Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×