CAMBRIDGE: Ratusan pelajar Universiti Harvard berhimpun semalam sebagai membantah tindakan terbaharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan semua kontrak kewangan persekutuan dengan institusi pendidikan terkemuka itu.
Tindakan itu, yang dilihat sebagai usaha memaksa Harvard tunduk kepada kawalan luar biasa terhadap pentadbiran dan hal ehwal akademiknya, dijangka melibatkan kira-kira AS$100 juta (RM424 juta).
Penunjuk perasaan melaungkan slogan sambil mengangkat sepanduk bertulis ‘Trump pengkhianat’, dengan sebahagian besar menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan pelajar antarabangsa di Harvard.
Trump dikatakan bertindak sedemikian selepas Harvard enggan menyerahkan kuasa mutlak berkaitan pengurusan kurikulum, kemasukan pelajar dan aktiviti penyelidikan kepada pihak kerajaan.
Ketegangan memuncak apabila kerajaan menarik balik pengiktirafan universiti itu dalam program pelajar dan pertukaran antarabangsa, sekali gus menjejaskan status imigresen pelajar antarabangsa.
Seorang hakim persekutuan telah mengeluarkan perintah injunksi sementara terhadap tindakan itu sementara menunggu perbicaraan lanjut yang dijadualkan berlangsung Khamis ini iaitu pada hari konvokesyen utama Harvard yang menyaksikan ribuan graduan dan keluarga mereka berkumpul di Cambridge, berhampiran Boston.
Dalam reaksi balas, jurucakap Trump, Karoline Leavitt berkata kerajaan lebih cenderung menyalurkan wang pembayar cukai kepada sekolah vokasional dan program latihan kemahiran yang menurutnya “mengangkat nilai-nilai Amerika”.
“Kita perlukan lebih ramai juruelektrik dan tukang paip, bukannya graduan pengajian LGBTQ dari Universiti Harvard,” katanya dalam satu temubual bersama Fox News malam tadi.
Pihak Harvard telah memfailkan cabaran undang-undang yang menyeluruh terhadap tindakan Trump, dan beberapa pakar perundangan menjangkakan mahkamah akan berpihak kepada institusi itu.
Dalam pada itu, kumpulan alumni yang menggelarkan diri mereka sebagai Crimson Courage mengumumkan rancangan untuk memfailkan saman terhadap Trump pada 9 Jun ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh pembikin filem dan aktivis Anurima Bhargava dalam satu sesi webinar yang turut bertujuan mengumpul dana bagi menyokong perjuangan tersebut. – AGENSI










