Lebih 100 kolam takungan di Selangor akan diwarta

Lebih 100 kolam takungan di Selangor akan diwarta

Kolam takungan
AMIRUDIN Shari meninjau stesen pam dekat kolam HORAS 600 Projek SJAM Pakej A pada Majlis Penyerahan Projek SJAM Pakej A dan C dekat Bestari Jaya, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kerajaan negeri berhasrat mewartakan lebih 100 kolam di seluruh negeri termasuk Takungan Air Pinggiran Sungai Hibrid (HORAS) yang menjadi sumber air sebagai kawasan perlu dilindungi bagi memastikan kelangsungan bekalannya.

Ia bagi memastikan loji rawatan air (LRA) serta bekalan air bersih bebas daripada gangguan atau kejadian henti tugas akibat pencemaran yang bermula dari muka sauk.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, meskipun projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) beroperasi bagi menampan pencemaran, namun masih terdapat risiko yang perlu dikawal bermula dari muka sauk di sungai atau kolam takungan.

Menurutnya, SJAM Pakej A dan C di LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP 3 dan Rantau Panjang diyakini mampu mengurangkan risiko gangguan atau henti tugas sehingga 99 peratus.

“Langkah yang kita ambil itu (SJAM) dapat kita mengawal sepenuhnya hampir 99 peratus, saya tak mahu kata seratus peratus, sebab ada beberapa kejadian sebelum ini, masih ada lagi potensi jika tidak dikawal daripada penemaran yang dikesan walaupun kita mempunyai ekosistem yang selengkap seperti itu.

“Ia (pencemaran) boleh dikesan juga, sebab itu kita kena wartakan kawasan-kawasan khususnya dari (stesen) pam sampailah ke muka sauk. Cuma tak pasti berapa lama kita perlukan. Kalau kita terpaksa buat pengambilan (tanah) kita buat supaya kita dapat kawal seratus peratus,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan SJAM Pakej A dan C, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan penyerahan projek SJAM Pakej A dan C yang mula beroperasi bagi memastikan bekalan air bersih kepada lebih empat juta pengguna di negeri ini, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Stesen pam yang beroperasi pada kapasiti sehingga 3,000 juta liter sehari (MLD) itu mampu menampan pencemaran di Sungai Selangor yang menjadi sumber air kepada LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP 3 dan Rantau Panjang dengan membekalkan air dari Takungan Air Pinggiran Sungai Hibrid (HORAS) 600.

Tambah Amirudin, selain Rancangan Selangor Pertama (RS1), SJAM juga sebahagian daripada Pelan Induk Air yang melihat segala isu asas air termasuk kekurangan bekalan dan lebihan akibat banjir bagi memastikan air bersih dapat disalurkan untuk tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun akan datang.

Selain itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga akan menilai semula keberkesanan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang mengenakan hukuman berat seperti penjara mandatori dan denda sehingga RM1 juta bagi mengelak insiden pencemaran sungai.

“Proses pendakwaan dibuat oleh pendakwa raya yang mempunyai kebijaksanaan sendiri kenapa akta (Akta Alam Sekitar) digunakan (berbanding Enakmen LUAS).

“Bagaimana kaedah siasatan lebih lengkap dan hak kepada badan penguatkuasa ke dalam premis dan sebagainya untuk mendapatkan bukti, sebab pembuktian perlu dilakukan. Kita dapat bukti pencemaran dari kilang, tetapi bagaimana hendak membuktikan kilang itu melepaskannya.

“Itu antara beberapa cabaran pendakwaan sebelum ini supaya penguatkuasaan dapat dilaksanakan dan diambil tindakan terhadap mereka yang betul-betul bertanggungjawab,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN