WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hanya mampu menjana 9.6 peratus dalam kutipan tarif import yang dikenakan oleh Presiden Donald Trump, berbanding sasaran awal yang diwar-warkan.
Trump mendakwa, tarif import yang dikenakan oleh pentadbirannya akan menjana pendapatan sebanyak AS$2 bilion sehari (RM8.6 bilion), namun menurut data rasmi kerajaan, angka sebenar ketika ini hanyalah sekitar AS$192 juta sehari (RM827 juta).
Walaupun hasil kutipan import meningkat sedikit sejak kenyataan itu, jumlah tersebut masih jauh mendekati angka yang dinyatakan Trump.
Jumaat lalu, data terkini dari Jabatan Perdagangan AS menunjukkan kerajaan mengutip sebanyak AS$285 juta (RM1.2 billion) melalui cukai kastam dan cukai eksais terpilih dalam tempoh satu hari.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kutipan tarif bagi bulan April mencecah AS$16.1 billion (RM69.38 bilion).
Trump mengancam untuk mengenakan tarif balas ke atas hampir semua rakan dagang AS di seluruh dunia.
Namun pada 9 April, Trump menghentikan sementara tarif balas tersebut dan menggantikannya dengan cukai import tetap sebanyak 10 peratus ke atas semua barangan import ke AS.
Bagaimanapun, beliau mengekalkan kadar tarif tertinggi ke atas China sebanyak 125 peratus, selain tambahan tarif sedia ada sebanyak 20 peratus yang dikenakan berikutan dakwaan peranan Beijing dalam penyeludupan fentanyl.
Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif balas sebanyak 125 peratus ke atas produk AS.
Sejak itu, kedua-dua negara mengambil beberapa pusingan U dengan AS mengecualikan beberapa barangan elektronik dari China daripada tarif, manakala Beijing dilaporkan sedang mempertimbang pengecualian tertentu terhadap produk import dari Washington.
Beliau juga mengekalkan tarif tambahan yang diumumkan pada bulan Mac terhadap import kereta, keluli, aluminium dan potash, yang kini menyumbang kepada hasil kutipan negara.
Beban kepada pengguna dan pasaran
Semua langkah tarif diumumkan Trump dijangka memberi tekanan besar kepada pengguna AS.
Menurut kajian Budget Lab, rakyat AS kini berdepan kadar tarif purata tertinggi dalam tempoh lebih 100 tahun, iaitu sekitar 28 peratus.
Tarif-tarif ini mencetuskan kebimbangan global dari pasaran saham di Wall Street hingga ke kedai kecil di Main Street dengan keyakinan pengguna terus menjunam.
Laporan Jabatan Perdagangan AS bulan ini menunjukkan perbelanjaan pengguna meningkat sebanyak 1.4 peratus.
Namun, pakar ekonomi percaya ia berpunca daripada pengguna yang membeli lebih awal sebelum harga naik akibat tarif baharu, bukan kerana ekonomi semakin baik.
Indeks Sentimen Pengguna Universiti Michigan yang dikeluarkan bagi Mac menunjukkan penurunan sebanyak 11 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Laporan Conference Board pula menunjukkan keyakinan pengguna jatuh ke paras terendah dalam 12 tahun.
Pelepasan tarif untuk pengeluar kereta AS
Kelmarin, Trump mengumumkan pelan melonggarkan tarif besar-besaran terhadap pengeluar kereta tempatan, dengan mengurangkan sebahagian cukai ke atas kereta dan alat ganti import.
Langkah itu dilihat sebagai kelegaan sementara bagi industri automotif yang sebelum ini memberi amaran strategi tarif Trump boleh menyebabkan kos meningkat sehingga puluhan bilion dolar.
Menurut pengumuman itu, pengeluar kereta yang dikenakan duti import 25 peratus tidak akan tertakluk kepada tarif lain, seperti keluli dan aluminium dengan pulangan wang diberikan kepada syarikat yang sudah membuat bayaran.
Selain itu, syarikat automotif AS turut dibenarkan memohon pelepasan tarif bagi sebahagian kos alat ganti import, namun pelepasan tersebut akan dihentikan secara berperingkat dalam tempoh dua tahun akan datang.
Trump memberitahu wartawan, beliau mahu pengeluar kereta tempatan menikmati kemudahan dalam tempoh peralihan jangka pendek ini.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan, Scott Bessent berkata, pentadbiran Trump komited untuk mengembalikan pengeluaran automotif ke AS.
“Kita mahu beri laluan pantas dan cekap kepada syarikat-syarikat ini supaya mereka boleh mencipta sebanyak mungkin peluang pekerjaan,” katanya.
Langkah itu diumumkan selepas analisis industri mendapati tiga gergasi automotif AS, Ford, General Motors Stellantis dijangka menanggung peningkatan kos lebih AS$42 bilion (RM180.87 bilion) akibat tarif 25 peratus tersebut.
Jumlah itu termasuk caj duti sekitar AS$5,000 (RM21,530) yang dikenakan ke atas alat ganti import untuk setiap kereta yang dibuat di AS.
Syarikat Stellantis dilaporkan sudah memberhentikan 900 pekerja, manakala General Motors pula membuang 200 kakitangan akibat manipulasi tarif.
Syarikat Volvo mengumumkan akan mengurangkan 800 pekerjaan di AS, manakala kajian Budget Lab di Universiti Yale meramalkan 770,000 pekerjaan di AS mungkin terhapus menjelang akhir tahun ini akibat kesan berantai tarif Trump.- AGENSI










